Khidmat kaunseling untuk keluarga Nur Farah Kartini Abdullah

Khidmat kaunseling untuk keluarga Nur Farah Kartini Abdullah

AHLI keluarga Nur Farah Kartini Abdullah tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh semalam untuk menunut jenazah bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Kerajaan menawarkan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini,25, yang ditemukan dibunuh di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang , Hulu Selangor dekat sini, Isnin lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, keluarga semestinya dalam keadaan trauma ekoran kejadian yang menimpa bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) tersebut.

“Saya ada berjumpa ahli keluarga (Nur Farah Kartini) abang serta ibunya dalam keadaan bersedih.

“Justeru, saya mewakili Ahli Parlimen serta Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad) sedia menawarkan perkhidmatan kaunseling psikososial dan ‘post trauma’ terhadap mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini semalam.

Terdahulu, Lukanisman tiba di Unit Forensik di sini kira-kira 12.15 tengah hari untuk berjumpa dan menyampaikan ucap takziah kepada ahli keluarga wanita berasal dari Miri, Sarawak itu.

Dalam pada itu, beliau turut menuntut siasatan dijalankan pihak polis secara adil terhadap kes bunuh Nur Farah Kartini.

“Saya juga Ahli Parlimen (Sibuti) di kawasan Miri jadi sudah tentu saya ingin menuntut keadilan terhadap kes ini agar ia dapat diselesaikan.

“Jenazah kini sedang dimandikan dan akan dikebumikan kampung kakak ipar Allahyarham di Pekan, Pahang.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan di lokasi kejadian adalah Nur Farah Kartini.

Sementara itu, Hussein berkata, polis akan memohon lanjutan reman terhadap suspek kes bunuh tersebut.

Menurutnya, reman suspek berusia 26 tahun itu akan tamat Isnin ini.

Beliau berkata, lanjutan reman itu akan dipohon susulan masih terdapat banyak aspek siasatan yang belum diselesaikan.

“Siasatan masih di peringkat awal, polis akan buat permohonan untuk melanjutkan tempoh reman suspek,” katanya ketika dihubungi semalam.

Seramai 26 orang saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini.

Antara saksi yang dirakam keterangan mereka termasuklah rakan mangsa, rakan sekerja suspek dan saksi awam. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×