DERETAN bangunan lama bercirikan seni bina kolonial yang terdapat di sekitar Ipoh terutama di Pekan Lama sememangnya menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung ke bandar raya ini.
Nilai estetika yang dimiliki bangunan seperti Dewan Bandaran Ipoh, Pejabat Pos Lama, Stesen Keretapi Ipoh dan Menara Jam Peringatan Birch, antara keistimewaan yang akan menggamit pelancong untuk memilih Ipoh sebagai destinasi percutian.
Malah, lokasi pelancongan berhampiran seperti Concubine Lane atau dikenali sebagai Lorong Gundik dan keenakan Ipoh White Coffee menjadi nilai tambah untuk Ipoh terkenal bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan bahkan luar negara.
Tidak hairanlah jika dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Ipoh yang terletak di daerah Kinta menduduki tangga pertama bandar raya paling ramai dikunjungi di Perak dengan jumlah pengunjung seramai 1,436,184 orang.
Malah, lorong kecil sepanjang kira-kira 100 meter berusia lebih 100 tahun yang terletak di Lorong Panglima itu pula mencatatkan sejarah tersendiri apabila merekodkan seramai 840,000 pengunjung dengan purata 35,000 orang seminggu.
Selain Concubine Lane, Tasik Cermin turut merekodkan kehadiran pelawat seramai 291,897 orang diikuti Gunung Lang (84,951), Taman Eko Rimba Kledang Saiong (63,644), Lata Ulu Chepor (51,773), Petting Zoo Gunung Lang (39,295), Lubuk Timah (30,929), Taman Eko Rimba Ulu Kinta (17,942) dan Muzium Ho Yan Hor (15,753).
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, Ipoh bukan sahaja menjadi pilihan penggemar bangunan bersejarah malah bagi mereka yang gemarkan aktiviti rekreasi dan riadah.
“Untuk mereka yang mahu ‘lari’ dari kesibukan kota, bandar raya Ipoh adalah tempatnya. Di sini terletaknya banyak bukit batu kapur dan gua yang menjadi lokasi kuil dan tokong dengan landskap unik dan menakjudkan.
“Bagi penggemar aktiviti lasak, mereka juga boleh ke Gunung Masoorat dan untuk penggemar sejarah dan binaan lama, mereka boleh bersiar-siar di sekitar Pekan Lama dan singgah ke Concubine Lane serta Muzium Ho Yan Hor,” ujarnya di sini hari ini.
Menurut Nurmalis, Ipoh juga kini lari dari stereotaip ‘bandar orang pencen’ apabila lokasi pelancongan utama di bandar raya ini dikunjungi lebih 60 peratus golongan muda.
Jelasnya, anak-anak muda ramai datang ke Ipoh kerana memiliki banyak lokasi ‘insta worthy’ seperti Tasik Cermin, Mural Street Art di sekitar Pekan Lama dan kafe hipster yang masih mengekalkan ciri-ciri bangunan lama bersejarah.
“Dulu mungkin lebih ramai yang berkeluarga ke Ipoh untuk membawa anak-anak khususnya ke Lost World of Tambun, tapi kini golongan muda juga ramai ke Ipoh untuk jalan-jalan cari makan dan mencari tempat-tempat untuk ‘Outfit of The Day’ (OOTD).
“Malah, lokasi Ipoh yang mudah dicapai dan harga kemudahan serta makanan yang lebih murah berbanding Kuala Lumpur dan Pulau Pinang merupakan antara faktor utama semakin ramai yang memilih Ipoh sebagai destinasi percutian mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurmalis berkata, pembangunan pesat Ipoh dalam sektor pelancongan disokong kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Katanya, usaha proaktif MBI termasuk dalam hal baik pulih dan naik taraf yang dilakukan di Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama bakal menjadikan dua lokasi itu sebagai produk pelancongan tumpuan terutama kepada penggemar muzik dan seni.
“Menerusi dua bangunan ikonik ini, saya yakin ada lebih banyak program muzikal, seni dan budaya akan berlangsung di Ipoh.
“Ia sejajar dengan sasaran MBI untuk menjadikan Dewan Bandaran Ipoh sebagai pusat aktiviti seni selaras dengan pengiktirafan UNESCO sebagai Bandar Kreatif Muzik,” ujar beliau. – UTUSAN










