IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan kini kuat dengan komposisi parti berbilang kaum yang unik demi memastikan keadaan negara lebih baik pada masa depan.
Menurut beliau, parti-parti yang membentuk kerajaan Pusat sekarang kukuh kerana merangkumi Pakatan Harapan (PH), UMNO (Barisan Nasional), Sarawak dan Sabah.
“Kita ada tiga tahun lagi. Saya tidak peduli apa orang kata tetapi saya mahu jaga negeri (negara) semua rakyat supaya dua tiga tahun lagi kita angkat negara dalam keadaan lebih baik.
“Saya minta kawan-kawan bagi kerjasama. Ada cadangan kemukakan dengan baik supaya kita selesaikan dengan segera,” katanya pada Program Santai Komuniti India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti Chemor di sini hari ini.
Katanya lagi, kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan masyarakat India kerana semua kaum diberikan hak yang sepatutnya tidak mengira pendidikan, pemilikan tanah dan perumahan.
“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kita tambah peruntukkan kepada masyarakat India. Kita perkasakan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk beri peluang untuk masyarakat India masuk.
“Petronas pun memberikan biasiswa kepada semua kaum termasuk India untuk menyambung pelajaran dan mendapat latihan dan pekerjaan di sana.
“Jika ada pemimpin marah-marah tidak peduli masyarakat India dan Anwar tidak ambil tahu, itu semua tidak betul,” katanya.
Tambah beliau, polemik mengenai kemasukan ke Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan telah selesai dan tidak perlu sesetengah pihak mempertikaikannya lagi.
“Mesti kerjasama semua selesai, Melayu, Cina India, Sabah dan Sarawak. Kita umum siapa dapat 10A semua dapat. Saya tidak main politik, election (pilihan raya) lambat lagi dan kerja mesti dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyaksikan sumbangan berbentuk replika cek daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Kuil Hindu Arulmigu Sayamapura Maha Mariaman Kovil Tanjung Rambutan di sini sebanyak RM250,000 dalam program Inisiatif Penyelengaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kementerian itu di seluruh negara. – UTUSAN











