Keputusan peperiKsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan pencapaian memberangsangkan. Sebagai contoh pencapaian Purata Nilai Gred
Keseluruhan (PNGK) meningkat kepada 2.84 berbanding 2.82 pada tahun lalu sekali gus mencatatkan rekod PNGK nasional tertinggi sejak sijil tersebut diperkenalkan.
Bagaimanapun, bilangan calon STPM 2023 yang mendapat PNGK 4.00 menurun kepada 1,116 berbanding 1,184 calon pada tahun lalu.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, daripada jumlah 1,116 calon itu, seramai 803 pelajar atau 71.95 peratus terdiri dalam kalangan kategori B40.
Katanya, dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas adalah seramai 4,153 pelajar atau 10 peratus.
“PNGK 3.00 ke atas ialah 18,621 calon (44.82 peratus), PNGK 2.75 ke atas 24,427 calon (58.79 peratus) dan PNGK 2.00 ke atas 37,428 calon ((90.08 peratus), meningkat berbanding 2022,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2023 di ibu negara baru-baru ini.
Beliau berkata, MPM memilih 17 pelajar STPM terbaik kebangsaan mengikut kategori untuk diberikan anugerah iaitu wang tunai bernilai RM1,000 beserta plak dan sijil.
“Mereka terdiri daripada lima pelajar terbaik kebangsaan aliran sains; dua (sains sosial); dua kategori Orang Asli dan lima calon berkeperluan pendidikan khas iaitu buta (dua orang), rabun (seorang), kurang dengar atau pekak (seorang) dan spastik (seorang),” katanya.
Menurutnya lagi, seramai 99.93 peratus atau 41,520 calon layak Sijil STPM 2023, manakala hanya 0.07 peratus atau 28 calon tidak layak mendapat sijil.
“Secara keseluruhannya, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2023 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas.
“Empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus lulus penuh berbanding dengan prestasi pada 2022, iaitu mata pelajaran Matematik, Bahasa Cina, Biologi dan Matematik.
“Tiada mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi negatif 3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada 2022,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Ekhwan berkata, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki STPM 2023 adalah seramai 42,908 orang berbanding 43,687 calon pada tahun lalu.
“Daripada 42,908 calon yang mendaftar, sebanyak 96.83 peratus atau 41,548 calon telah hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2023.
“Seramai 1,360 calon tidak hadir menduduki peperiksaan atas pelbagai sebab antaranya dapat tawaran belajar di institusi lain, masalah kesihatan, tidak berminat kerana mendapat kerja, masalah keluarga dan meninggal dunia,” katanya.- UTUSAN