KOTA KINABALU: Tekad untuk keluar daripada kemiskinan mendorong pelajar B40 untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Keinginan untuk mengubah nasib keluarga membuatkan Malvena Jenepa Jauti, 20, melipatgandakan usaha untuk memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Melihat susah payah dihadapi bapanya yang bekerja sebagai penjaga stor di kedai hardware mendorong anak bongsu daripada tiga beradik itu untuk cemerlang dalam pelajaran.
Katanya, dia tidak mahu mewariskan kemiskinan hidup kepada anak-anak. Cukuplah dia sahaja yang tahu betapa sukarnya kehidupan berkeluarga dengan keadaan kewangan yang terbatas.
“Hanya melalui pendidikan sahaja yang boleh mengubah nasib keluarga kami. Saya mahu menjadi generasi pertama dalam keluarga yang berjaya dan mampu membuatkan kedua ibu bapa kami bangga,” katanya ketika ditemui semasa pengumuman keputusan STPM 2023 negeri Sabah, hari ini.
Katanya, biarpun dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang psikologi di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), sekiranya permohonan melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Guru (IPG) diterima, dia akan menolak tawaran ke universiti.
Malvena berkata, dia telah menjalani temuduga kemasukan ke IPG semalam dan meletak harapan yang tinggi dapat diterima masuk ke IPG agar hasratnya untuk menjadi guru tercapai.
Sementara itu, Errol Jackson Mejon, 20, dari SMK Tamparuli yang turut memperoleh PNGK 4.00 memberitahu melihat kesukaran bapa sebagai seorang pemandu lori di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu membuatkan dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga.
“Sebagai anak sulung daripada empat beradik, saya memikul tanggungjawab yang berat untuk mengubah nasib keluarga. Cabaran sebagai anak daripada keluarga B40 adalah kekangan kewangan,” katanya.
Errol berhasrat menyambung pengajian dalam bidang undang-undang agar impiannya untuk menjadi peguam akan tercapai.
“Sekiranya dapat menjadi peguam, saya akan menjadi orang pertama dalam keluarga kami yang mempunyai kerjaya dalam bidang ini,” katanya. – UTUSAN










