PARIT BUNTAR: Pesawah di sini yang terjejas akibat masalah tiada pengairan ke sawah mereka disebabkan cuaca panas diminta membuat laporan polis seterusnya dibawa ke pejabat Jabatan Pertanian berhampiran untuk proses dokumentasi bagi permohonan tabung bencana tanaman padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, tindakan itu perlu segera dilaporkan supaya pegawai Jabatan Pertanian ke lokasi bagi mendapatkan maklumat terperinci.
“Pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian sudah diarah untuk mengambil semua maklumat dan laporan berkenaan petani yang tanaman mereka terjejas akibat kemarau.
“Petani yang tanaman yang rosak akibat kemarau boleh menghubungi atau datang ke pejabat Jabatan Pertanian berhampiran untuk proses permohonan tabung bencana tanaman padi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program KPKM INC dan Hari Ladang Pejabat Pertanian Daerah Kerian di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Shahril Sabri dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian (IADA) Kerian, Noor Mazirah Teh.
Menurut Zolkafly, cuaca panas yang Perak agak ekstrem ketika ini dan IADA Perak sudah membekalkan 37 pam air bagi membantu pesawah di Kerian untuk mengepam air dari parit buang ke dalam parit ladang.
Menurutnya, selain itu, kementerian pertanian dan kerajaan negeri juga sudah membuat permohonan pembenihan awan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Difahamkan pembenihan awan akan dilakukan di kawasan kolam tadahan Empangan Tasik Bukit Merah.
“Pengumuman pelaksanaan pembenihan awan itu akan dilakukan oleh pihak kementerian itu dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut mengesa kerajaan Persekutuan mengembalikan semula Bantuan Sementara Menunggu Padi Masak sebanyak wang RM600 kepada pesawah.
hari ini, Utusan Malaysia melaporkan dianggarkan lebih separuh daripada 1,817 hektar sawah padi yang baru ditanam di Kompartmen E di Alor Pongsu di Bagan Serai mengalami kerosakan disebabkan Tasik Bukit Merah tidak dapat membekalkan air apabila tasik itu kering sejak bulan lalu.
Pengairan untuk sawah padi di Bagan Serai dihentikan sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian pada 28 Jun lalu berikutan paras arir tasik itu yang semakin menurun.
Ini menyebabkan padi yang baru ditanam 40 hari lalu daunnya layu dan kekuningan dan jika masih tiada air dibekalkan, kemungkinan padi yang baru ditanam akan mati. – UTUSAN











