ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjangkakan mampu memperoleh pendapatan mencukupi menerusi pelbagai strategi perniagaan dan dana dalam tempoh enam bulan ini sekali gus dapat terus memberi saingan dalam liga tempatan.
Pemiliknya, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, beliau optimis Sang Kenari tidak akan perlu melalui episod hitam seperti yang dialami musim lalu sekiranya penyokong memberi sokongan padu terhadap usaha dilakukan.
Menurutnya, ketika ini pihaknya akan melancarkan beberapa produk yang menggunakan nama KDA FC seperti kopi, air mineral, vitamin serta barang keperluan termasuk baju, tuala dan stoking bagi menjana pendapatan pasukan.
“Alhamdulillah selama ini memang kita ada penaja dan terima duit daripada penjualan tiket tetapi orang ramai perlu tahu bahawa jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan pasukan.
“Kalau antara 5,000 ke 10,000 rakyat Kedah boleh beli produk kita keluarkan dengan kerjasama rakan niaga ini, maka dalam tempoh tiga ke enam bulan kita boleh memperoleh pendapatan mencukupi hingga akhir musim,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, setakat ini terdapat 10 rakan niaga dan jumlah itu dijangka terus berkembang dengan sasaran mencecah 100 rakan niaga pada akhir musim.
“Ini merupakan sesuatu yang baharu dalam arena bola sepak tanah air dan kami berharap semua pihak dapat memberi sokongan terhadap usaha ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, ketika ini pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi menjadi penaja utama, pertama, kedua, ketiga dan keempat.
Katanya, rundingan mengenai perkara itu sudah berjalan lama iaitu sejak Ogos tahun lepas, namun terdapat beberapa perkara yang timbul, menyebabkan hal itu belum dapat dimuktamadkan.
“Hal berkaitan penajaan bola sepak cukup unik kerana semalam kita mungkin sudah mencapai persetujuan tetapi hari ini tak jadi. Tetapi kami tak pernah putus asa sebaliknya terus mencari biarpun liga sudah menjengah ke pusingan kedua.
“Harap penyokong faham kerana kami bukannya tidak mahu letak nama penaja pada jersi pasukan yang baru dilancarkan semalam tetapi hingga tarikh jersi itu dicetak, masih belum ada penaja utama, kedua, ketiga dan seterusnya untuk dimuktamadkan,” katanya. -UTUSAN










