PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pas memberikan satu perumpamaan pemilihan seorang kelasi untuk menyelamatkan sebuah kapal yang sedang karam.
Tanpa menyentuh mana-mana pihak, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kapal itu karam tidak mengapa tetapi asalkan kelasi itu selamat.
“Kapalnya yang sedang karam, tiba-tiba masih memilih kelasi kapal mana yang dibenarkan menyelamatkannya.
“Kapalnya karam tak mengapa, asalkan dia seorang selamat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Setakat ini, beliau tidak memperincikan kiasan kapal dan kelasi sama ada ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) atau UMNO mahupun mana-mana komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Namun sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, partinya tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang memegang jawatan Presiden.
Kata Ahmad Zahid, Abdul Hadi tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.
“Saya pernah berbincang empat mata dengan Abdul Hadi. Hari ini depan-depan setuju. Namun, keesokannya dia tukar. Setuju-setuju kemudian di belakang dia tukar kembali. Pas ini berbohong dari dahulu sampai sekarang.
“Selagi orang itu jadi Presiden, jangan harap kita bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam itu,” kata Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar. – UTUSAN











