PETALING JAYA : Kegiatan seorang juruhias majlis hidup mewah dengan menjadi tokan dadah terbongkar selepas ditahan polis di sekitar Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Penahanan suspek berusia 40 tahun itu menemukan dadah jenis kanabis dan erimin 5 yang bernilai RM77,947.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Cheras kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya, suspek yang bergerak aktif mengedar dadah di sekitar daerah Cheras sejak awal tahun ini dipercayai turut menjadikan kondominium mewah yang dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah.
“Suspek ditahan bersama kanabis seberat 22.675 kilogram (kg) dan 0.027 kg erimin 5.
“Suspek didapati positif dadah benzo. Kita merampas wang tunai RM3,000 dan sebuah kereta Honda Insight,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, lanjutan dari tangkapan pertama, satu lagi serbuan di sebuah kondominium di sekitar Kajang, Selangor sebelum menemukan 4.29 kg dadah jenis kanabis.
Dalam serbuan itu, pihaknya merampas dua buah kenderaan jenis Toyota Alphard dan sebuah Mini Cooper yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM 80, 947.
“Kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah adalah untuk mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
“Bekalan dadah dipercayai diperolehi daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek yang bekerja sendiri turut menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.
Beliau berkata, suspek ditahan direman selama enam hari sehingga 17 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan menjangkau seramai 5,000 pengguna dadah.
“Orang awam agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan menghubungi IPD Cheras di talian 03-92050222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 sekiranya mempunyai sebarang maklumat,” katanya. – UTUSAN










