PETALING JAYA: Pelbagai tawaran harga dan pilihan bayaran termasuk secara ansuran adalah antara faktor beras import yang dijual secara berleluasa menerusi platform e-dagang dalam talian menjadi pilihan pelanggan.
Malah terdapat platform yang menawarkan pembelian beras secara ansuran dan perkhidmatan ‘beli sekarang dan bayar kemudian’ sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan rutin itu ketika kesempitan wang.
Tinjauan Utusan Malaysia di dalam talian mendapati, wujudnya beras import lima kilogram (KG) yang dikatakan dari negara jiran dijual bermula harga RM21 hingga RM25 berbanding di pasaran terbuka antara sekitar RM31 dan RM33.
Bagaimanapun, harga beras import tidak tetap kerana ia tidak dikawal kerajaan berbanding beras tempatan yang ditetapkan pada harga RM2.60 sekilogram.
Kesempatan itu menyebabkan orang ramai tertarik dengan urus niaga beras import dalam talian di samping mereka tidak perlu lagi ke pasar raya untuk membeli-belah.
Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md. Radzi berkata, meskipun penjualan beras import dalam talian bukan menjadi masalah selagi mana mematuhi undang-undang, namun tindakan itu mencetuskan pelbagai persoalan termasuk mengapa harganya lebih murah berbanding pasaran terbuka.
Katanya, antara perkara menjadi kebimbangan adalah sama ada beras itu benar-benar dibawa dari luar negara atau wujudnya kegiatan menukar kampit beras tempatan kepada beras import.
“Memandangkan beras tempatan murah dan import pula mahal, jadi ada pihak mengambil kesempatan menukar kampit untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
“Kita tidak pasti adakah beras dijual di online itu benar-benar import dan perkara ini perlu dipantau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mendapati wujudnya penjualan beras import secara dalam talian tidak mempunyai lesen runcit dikeluarkan pihaknya dan beras yang dijual diperoleh dari sumber tidak sah.
Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras seludup dan tanpa lesen secara dalam talian telah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang dalam tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei lalu.
Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan peraturan di bawahnya dn sebarang urus niaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit, termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan Ketua Pengarah Bahagian Kawalselia Padi dan Beras.
Musonnef berkata, pihak berkuasa digesa meningkatkan penguatkuasaan bukan sahaja membabitkan pembungkusan, tetapi pengedaran beras.
Katanya, terdapat beberapa pengilang beras didakwa membuat pengedaran makanan ruji tanpa melalui pemborong.
Justeru kata beliau, keadaan itu menyebabkan manipulasi pengedaran beras sehingga menjejaskan bekalan beras tersebut.
“Jika orang tinggal di bandar dan mempunyai internet boleh beli beras dalam talian kerana mempunyai pelbagai pilihan harga, bagaimana pula duduk di kampung dan tiada pendapatan tetap, sudah tentu sukar memperolehnya.
“Sebelum ini, isunya sekarang beras tempatan sebenarnya cukup tetapi mengapa sukar mendapat bekalan di pasaran? Apakah berlaku monopoli atau kartel untuk mendapatkanya sebelum dijual kepada orang ramai,” katanya. – UTUSAN










