KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng diingatkan untuk tidak lagi bermain dengan naratif berhubung isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras.
Setiausaha Politik kepada Fadhlina Sidek, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, reaksi Guan Eng menunjukkan beliau komited dalam tidak sependapat dengan Menteri Pendidikan dan Kabinet.
Menurut beliau, pemimpin Pas juga sudah tidak lagi bersuara berkenaan isu tersebut kerana jelas mereka sudah akur dengan garis panduan yang sama ketika pemerintahan 33 bulan sebelum ini.
“Rakan sepasukan parti Bagan (Guan Eng) juga telah membangkitkan isu khusus ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan diputuskan bersama. Bahkan setelah kenyataan media dibuat, mengapa beliau masih lagi menari dalam naratif yang didendangkan oleh pasukan pembangkang?
“Jika Fadhlina dikira mengikut telunjuk Pas, Guan Eng ikut telunjuk siapa?” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan dia bukan menteri pendidikan Pas.
Mengulas lanjut, Atiqah Syairah turut mempersoal sama ada tidak ada ruang untuk usul dan cadangan penambahbaikan disalurkan secara berpusat.
“Contohnya seperti Pelan Reformasi Pendanaan Pendidikan yang melibatkan kementerian pendidikan dan kementerian kewangan. Ini adalah masa terbaik kerana DAP mempunyai timbalan menteri kedua-duanya dari parti yang sama.
“Sebagai seorang ahli Dewan Rakyat yang berkhidmat hampir empat dekad di dalam Parlimen serta pengalaman di negeri dan persekutuan, pastinya beliau mahir dengan mengurus krisis dan tampil sebagai negarawan untuk tidak bermain dengan isu yang menyumbang kepada ketegangan kaum dan agama,” katanya.
Tambahnya, Kabinet sudah memberikan pendapat dan Kementerian Pendidikan turut memberi penegasan selain penganjur juga tampil memberikan penjelasan.
“Kami komited dalam memastikan agenda pembangunan pendidikan negara ini mencapai matlamat aspirasi negara dan ini hanya akan dapat dilaksanakan jika dan hanya jika setiap pemegang taruh terlibat dengan aktif dalam memberikan solusi tuntas dan membangun,” jelasnya. – UTUSAN










