Jawatankuasa khas bantu 10,000 pesawah seluruh negara terjejas kemarau - Utusan Malaysia

Jawatankuasa khas bantu 10,000 pesawah seluruh negara terjejas kemarau

MAHFUZ Omar (dua dari kiri) bersama pesawah ketika meninjau sawah padi yang ditumbuhi rumput sambau akibat kemarau di Alor Pongsu, Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi membantu hampir 10,000 pesawah di seluruh negara yang terjejas akibat kemarau .

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan laporan Jabatan Teknikal Pertanian, sehingga Mei lalu sebanyak 17,373.87 hektar sawah seluruh negara terjejas.

“Setakat ini berdasarkan laporan yang diterima kita dimaklumkan kawasan sawah padi yang terlibat akibat kemarau ialah di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu melibatkan seramai 8,788 pesawah.

“Manakala di Kerian seluas 4,890 hektar sawah terjejas melibatkan 2,162 pesawah akibat musim kemarau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat 2024 ‘Jom Pakat Pi Bendang’ di Parit Haji Ali Alor Pongsu di sini hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi Amanah Raya, Tan Sri Idrus Harun.

Turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Sham Mat Sahat.

Mengulas lanjut mengenai Jawatankuasa Khas yang akan ditubuhkan, Mahfuz berkata antara agensi yang terlibat dalam jawatankuasa itu ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan akan mengumpulkan data untuk laporan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi tujuan Bantuan Tabung Bencana.

“Semua Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) diminta mengumpul data jumlah pesawah yang terkini dan yang terjejas bagi mengelakkan ada pesawah yang tercicir daripada mendapat bantuan yang berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan kemarau di Daerah Kerian semakin kritikal dan menjejaskan pesawah terutama pesawah yang baru menanam padi disebabkan Tasik Bukit Merah tidak dapat membekalkan air apabila tasik itu kering sejak bulan lalu.

Pengairan untuk sawah padi di Bagan Serai dihentikan sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian pada 28 Jun lalu berikutan paras arir tasik itu yang semakin menurun.

Ini menyebabkan padi yang baru ditanam 40 hari lalu daunnya mulai layu dan bertukar warna kepada kekuningan dan jika masih tiada air dibekalkan, kemungkinan padi yang baru ditanam akan mati.

Sebahagian besar kawasan yang terlibat dengan masalah air menyebabkan tanahnya kering kontang. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN