SERDANG: Felda tidak boleh dijadikan sebagai tempat yang mencetuskan perpecahan, benci-membenci dan perseteruan dalam kalangan warganya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu melihat Felda menunjukkan teladan yang baik termasuk dari segi tatakelola supaya dapat memberi contoh terbaik kepada semua.
Mengambil contoh peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, katanya, nilai dan pengajaran yang tersemat dalam kejadian itu harus diambil dan dihayati.
Jelasnya, ia bagi membantu melakukan perubahan dalam Felda, bukan mencakupi pihak pengurusan semata-mata tetapi juga peneroka.
“Dalam kita meneladani nilai dan pengajaran peristiwa ini, ia melibatkan semua pihak dan tidak hanya mencakupi umat Islam semata-mata, tetapi juga orang bukan Islam, termasuk kelompok wanita dan golongan muda.
“Apakah ada semangat dan nilai yang sama? Apakah ada pengurusan yang cemerlang, apakah ada semangat untuk bawa kebaikan kerana yang berlaku, yang tinggal adalah amalan lapuk, sikap lapuk. Maka, perlu tinggalkan kezaliman dan bawa perubahan.
“Mudah-mudahan kita dapat bawa perubahan ini kepada semua. Saya juga yakin Insya-Allah kalau kita ada kefahaman betul atau kalau Felda berhasil betul-betul boleh jadi contoh terbaik… Bagaimana orang miskin diberi tanah dan diangkat martabat mereka. Ini martabat Felda. Itu isyarat.
“Yang baik percayalah bukan saya mahupun kawan-kawan dalam Kabinet akan bantu buat perubahan, tetapi kesediaan mesti ada. Jangan jadikan Felda tempat pecah-belah, cetus kebencian dan perseteruan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini hari ini.
Katanya lagi, untuk perubahan yang dimahukan dalam Felda, perpindahan komuniti sebelum ini ke tanah rancangan kerajaan itu mesti menunjukkan keseimbangan yang baik.
Beliau mahu semangat permuafakatan yang baik, bersih daripada najis dadah, pendidikan dan persekitaran kawasan lebih baik boleh memberi contoh baik kepada masyarakat bukan saja orang Islam bahkan bukan Islam.
Katanya lagi, untuk perubahan yang dimahukan dalam Felda, perpindahan komuniti sebelum ini ke tanah rancangan kerajaan itu mesti menunjukkan keseimbangan yang baik.
“Kita ada anjurkan pesta pada hari sambutan peneroka Felda, tetapi saya mahu ajak semua masing-masing merenung, kita boleh baiki (sikap),” katanya. – UTUSAN










