KUALA KRAI: Seorang ibu tunggal dari Kampung Manek Urai di sini yang menghidap kanser payudara tahap empat kental menguruskan diri bersendirian sejak dua tahun lalu.
Rosliza Muhamad Amin, 54, berkata, walaupun berdepan kepayahan dia kuatkan semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurutnya, penyakit itu mula dikesan pada 2020 dan bertambah teruk walaupun sudah menjalani kimoterapi di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini.
“Saya juga perlu menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian.
“Hari-hari saya lalui semuanya seorang diri di rumah. Tetapi adik beradik yang lain ada juga datang menjenguk dan bertanya khabar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan dari Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaakob.
Rosliza memberitahu, dia bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
Katanya, beban itu sedikit ringan apabila menerima faedah elaun keuzuran menerusi caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) hasil inisiatif kerajaan sebanyak RM300 sebulan.
Rosliza berkata, sel kanser sudah merebak ke bahagian pinggul belakang kiri bermula awal tahun.
“Keadaan itu menyebabkan saya akan merasa sakit pada tulang kaki apabila berdiri, berjalan atau duduk yang terlalu lama,” ujarnya yang mempunyai dua anak berusia 29 dan 34 tahun termasuk yang sudah berkahwin berada di luar Kelantan. – UTUSAN










