Ibu bapa Zulfarhan syukur keadilan berpihak kepada mereka sekeluarga

Ibu bapa Zulfarhan syukur keadilan berpihak kepada mereka sekeluarga

ZULKARNAIN Idros (bapa Zulfarhan Osman) dan isterinya Hawa sujud syukur sejurus selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengumumkan keputusan rayuan berkaitan kes kematian anaknya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Ibu bapa kepada Zulfarhan Osman Zulkarnain melahirkan kesyukuran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menjatuhkan hukuman gantung ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut itu, tujuh tahun lalu.

Zulkarnain Idros, 60, ketika ditemui media berkata dengan keputusan semalam akhirnya keadilan berpihak kepada anaknya, Zulfarhan.

“Kami bersyukur kerana Allah telah makbulkan doa saya dan isteri supaya kes ini dikembalikan kepada hukuman gantung sampai mati. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini serta pihak pendakwaan yang membuktikan bahawa adanya niat membunuh,” kata Zulkarnain yang ditemani isterinya, Hawa Osman, 61.

Sementara itu, Hawa yang kelihatan sebak turut menunjukkan gambar Zulfarhan berukuran pasport dan sapu tangan terakhir peninggalan anak kesayangannya itu kepada pihak media.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu dilihat melakukan sujud syukur dan menangis selepas keluar dari mahkamah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menjatuhkan hukuman gantung terhadap keenam-enam tertuduh selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi mereka sebelum ini.

Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN