PETALING JAYA: Peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang perlu digazetkan menerusi Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang juga melibatkan sistem kawal selia dan perbelanjaan.
Langkah itu merupakan satu formula pengagihan peruntukan kawasan yang jelas, telus dan saksama dengan mengambil kira jumlah pengundi di setiap kawasan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya kerajaan betul-betul serius dan komited melaksanakan reformasi akan menunaikan janji untuk menginstitusikan akta peruntukan yang adil serta meletakkannya di bawah Parlimen.
Katanya, ini kerana ia hari ini terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebab itu kawasan pembangkang dianaktirikan berbanding kawasan Parlimen kerajaan yang mendapat sehingga RM20 juta sepenggal untuk bantuan.
“Pembangkang mahu buka pusat khidmat, gajikan staf dan bantu (rakyat) seperti baik pulih rumah, beli lampin semua tidak ada, tetapi kerajaan ada.
“Jadi, untuk mengubah, bukan setakat ada rundingan tetapi tidak ada kata putus, namun mengaktakan perkara ini supaya tidak kira siapa bentuk kerajaan, perkara ini (peruntukan adil) dapat diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Polemik undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan tercetus ekoran Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Enam ahli Parlimen adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis daripada UMNO pula menjadi ahli Pas berkuat kuasa Jun tahun lalu.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan mahukan pembangkang yang efektif, tetapi tiada peruntukan untuk menggajikan staf dan membuka pusat khidmat.
Sedangkan, katanya, peruntukan minimum kepada ahli parlimen kerajaan untuk membuka pusat khidmat dan menggajikan staf berjumlah RM300,000 ke atas.
“Bukan setakat bantuan kebajikan kosong, ahli parlimen kerajaan ada peruntukan tahunan untuk buka pejabat pusat khidmat, gajikan staf dan bayar utiliti, tetapi pembangkang kosong,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr. Tricia Yeoh berkata, punca utama seseorang wakil rakyat memberi sokongan kepada pihak tertentu kerana terdesak memerlukan peruntukkan kawasan untuk memenuhi permintaan pengundi pada setiap masa.
Katanya, sebarang usaha menambah baik undang-undang anti lompat parti tidak membawa sebarang makna jika masih wujud budaya tawar-menawar atau membeli wakil rakyat yang akan dijanjikan peruntukkan sekiranya memberi sokongan.
“Sudah menjadi kebiasaan negara ini, wakil rakyat kini dilihat seolah pegawai kebajikan kerana sering menjadi tumpuan pengundi untuk memohon peruntukkan wang seperti anak masuk universiti, keluarga sakit, rumah terbakar dan sebagainya.
“Meskipun ia bukan tugas sebenar wakil rakyat, sebaliknya ia mendesak untuk memerlukan peruntukkan untuk disalurkan kepada rakyat. Keadaan ini tidak berlaku bagi yang mempunyai peruntukan, namun bagaimana pula membabitkan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak dapat langsung peruntukkan.
“Oleh sebab itu, CDF ini wajar dilaksanakan agar semua wakil rakyat tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang menerima peruntukkan sama adil. Ini demi menjamin kestabilan politik kerana dapat mengelakkan amalan tawar-menawar yang dijanjikan peruntukkan jika memberi sokongan,” katanya.
Menurut Yeoh, pihaknya melihat kerajaan perlu mengutamakan peruntukkan sama adil perlu berbanding usaha menambah baik undang-undang anti anti lompat parti untuk menstabilkan politik di Malaysia dengan menyamaratakan peluang antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Justeru itu, pihaknya berpandangan Malaysia memerlukan satu undang-undang yang memuktamadkan pembahagian peruntukan kawasan yang telus, adil dan bertanggungjawab kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik.
“Jika mahu kestabilan politik, kita perlu memastikan peruntukkan sama rata. Hal ini kerana sokongan kepada pihak tertentu menjadi punca mengapa beberapa wakil rakyat bersikap demikian sejak kebelakangan ini,” katanya.
Katanya, CDF bermakna kerajaan wajib menyalurkan peruntukkan tanpa mengira parti politik manakala keperluan pelaporan dan pengisytiharan oleh semua wakil rakyat untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam penggunaan dana tersebut.
Bagaimanapun Yeoh melihat tren kebergantungan tinggi kepada wakil rakyat perlu ditangani oleh semua pihak khususnya para pengundi yang masih melihat ahli Parlimen atau ADUN seolah-olah sebagai pegawai kebajikan.
Katanya, masalah ini berlaku disebabkan rakyat tidak mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan.
“Misalnya, tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat kini diambil wakil rakyat, sedangkan negara ini mempunyai pegawai dan agensi untuk memohon bantuan.
“Peranan sebenar ahli Parlimen atau ADUN adalah sebagai memudahkan urusan rakyat, pemikir dan berbahas serta meluluskan undang-undang tetapi tugas mereka kini bertambah sebagai pegawai sosial untuk memberikan bantuan kewangan,” katanya. – UTUSAN










