Enggan dedah anak kepada umum, Denny Sumargo dan Olivia Allan masih belajar tugas jadi ibu bapa
JAKARTA: Pelakon, Denny Sumargo memutuskan untuk tidak terlalu berkongsi mengenai anak sulungnya yang bakal dilahirkan pada penghujung bulan ini.
Ujar Denny, hal tersebut kerana dia dan isteri, Olivia Allan ingin menjaga privasi keluarga serta bayi tersebut.
“Kami ingin mohon maaf dan mengambil keputusan ini supaya dapat menyambut kehadiran cahaya mata sulung secara personal.
“Hanya keluarga terdekat yang dibenarkan melawat sesudah bayi itu dilahirkan nanti. Kami mahu hadkan kehadiran agar tidak terlalu ramai,” katanya kepada media tempatan.
Denny dan Olivia mendirikan rumah tangga pada November 2020.
Ini merupakan cahaya mata sulung selepas Olivia mengalami tiga kali keguguran sebelum ini.
Selain itu, Denny dan isterinya juga memutuskan untuk hanya mendedahkan anak mereka kepada umum beberapa bulan selepas bayi tersebut dilahirkan.
“Kami masih belajar untuk menjadi ibu bapa, mungkin selepas beberapa bulan barulah akan kami dedahkan anak kami kepada umum.
“Kalau boleh kami nak kawal keadaan, tidak terlalu dedahkannya kepada orang ramai,” jelasnya.