SETIU: Dua beranak antara empat penjaja yang ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas didapati meninggalkan solat Jumaat dalam operasi dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd. Aziz berkata, lelaki berusia lingkungan 17 hingga 54 tahun itu ditahan di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, dekat Sungai Tong, di sini.
“Kesemua mereka ditahan ketika pemantauan dilakukan oleh anggota penguat kuasa syariah wanita bermula pukul 1.30 tengah hari hingga selesai tempoh waktu solat Jumaat.
“Tangkapan ke atas mereka dibuat sekitar pukul 2 petang selepas mendapati mereka tidak ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut beliau, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Setiu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jamin hadir ke mahkamah.
Katanya kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016).
“Bagi kesalahan itu, mana-mana lelaki yang mukalaf tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak adalah melakukan satu kesalahan.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidlak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Ujarnya lagi, pemantauan ke atas individu Muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JHEAT dengan kerjasama Pegawai Penguat kuasa Syariah Setiu dan Besut. – UTUSAN










