KUALA TERENGGANU: Dua sahabat maut manakala enam yang lain terselamat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Kemajuan dekat sini, malam tadi.
Kedua-dua mangsa, Muhammad Haniff Idham Mohd. Azmi, 24, dan kenalannya, Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22, disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 10.30 malam membabitkan empat buah kenderaan.
Menurut beliau, ketika kejadian, Muhammad Haniff Idham dan Nurshabirah Izzani baru pulang dari tempat kerja di sebuah pusat beli-belah menuju Kampung Pulau Duyung untuk makan malam.
“Setibanya di lokasi, kereta Perodua Myvi dipandu Muhammad Haniff Idham tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah pacuan empat roda Toyota Fortuner dipandu lelaki berusia 28 tahun bersama penumpang berusia 54 tahun.
“Kedua-dua kenderaan tersebut kemudian terbabas melanggar pokok hiasan yang berada di tengah pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelas beliau, susulan itu, sebuah lagi pacuan roda Range Rover dari Gong Badak menuju pusat bandar gagal mengelak lalu merempuh sisi kanan Perodua Myvi terbabit sebelum kereta mewah itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Saga.
Menurut Azli, Muhammad Haniff Idham dan penumpangnya, Nurshabirah Izzani disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan di wad kecemasan HSNZ manakala mangsa lain cedera ringan.
“Mayat kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










