TAPAH: Dua keluarga Orang Asli di Kampung Sungai Bindu, Chenderiang di sini hari ini gembira menerima dua rumah baharu sumbangan Yayasan My First Home (YMFH).
Lebih bermakna, kedua-dua rumah itu diserahkan oleh Pengasas dan Penasihat YMFH dan Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.
Menurut Bahtian Bahtalin, 39, dia tidak menyangka menerima sebuah rumah baharu tiga bilik, satu bilik air, ruang tamu dan dapur yang dianggarkan berharga RM65,000 oleh YMFH.
“Bekerja kampung dengan pendapatan hanya RM700 sebulan memang saya tidak mampu memiliki rumah moden sebegini kerana perlu menampung kehidupan isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang masih bersekolah.
“Ini boleh saya anggap sebagai ‘hadiah’ yang bermakna selain memudahkan anak-anak untuk belajar dengan selesai,” katanya di sini hari ini.
Seorang pengawal keselamatan, Bahjuga Bahchem, 39, pula berkata, dia tidak dapat melupakan hasrat arwah isterinya sebelum ini untuk memiliki sebuah kediaman baru.
“Empat tahun kami berjuang sebelum dia meninggal dunia tiga tahun lalu. Syukur kerana kami menerima kediaman baharu ini secara percuma.
“Jika diikutkan dengan gaji RM1,500 dan perlu menampung dua anak yang masih bersekolah, mungkin saya hanya bermimpi untuk memiliki kediaman baharu selamanya,” katanya.
Sementara itu, Vincent Tan berkata, YMFH telah membantu memberikan pinjaman tanpa faedah dan fleksibiliti kadar tempoh pembayaran kepada 250 keluarga terutamanya kepada golongan B40 untuk keperluan rumah baharu mereka.
“Ini bukannya pinjaman perumahan tetapi pinjaman sekitar RM10,000 hingga RM15,000 atau mengikut keperluan untuk kos-kos lain berkaitan perumahan seperti pemasangan air, elektrik, yuran-yuran lain termasuk deposit rumah sekiranya diperlukan.
“Kami juga bercadang untuk membina empat buah rumah di kampung ini dan 16 rumah lagi di empat atau lima lokasi yang bersesuaian untuk golongan kurang berkemampuan,” katanya. – UTUSAN










