PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman sebagai pemimpin yang cekap, komited dan gigih dalam perjuangan.
Perdana Menteri terlebih dahulu menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia di Hospital Serdang pada 11.23 malam tadi.
“Almarhumah merupakan sahabat dekat saya sewaktu bersama di dalam UMNO tatkala mengemudi sayap Wanita UMNO dan merupakan pemimpin yang cekap, komited serta gigih dalam perjuangan.
“Saya turut berduka dan mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan selain diampunkan segala dosa almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Allahyarham yang juga bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar meninggal ketika berusia 75 tahun.
Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 11.30 pagi tadi.
Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).
Dalam arena politik, beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO. – UTUSAN










