Doktor kontrak bimbang hilang faedah perkhidmatan

Doktor kontrak bimbang hilang faedah perkhidmatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan doktor kontrak yang sudah bertahun-tahun berkhidmat dalam perkhidmatan kesihatan awam kini bimbang kehilangan faedah-faedah perkhidmatan seperti cuti terkumpul apabila mereka mengisi jawatan pegawai perubatan Gred UD43.

Selain cuti terkumpul, mereka juga menggesa Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mempertimbangkan untuk mengekalkan tangga gaji akhir selain faedah-faedah lain sedia ada yang diperoleh mereka.

Ia susulan penetapan gaji bagi kekosongan jawatan pegawai perubatan Gred UD43 (kontrak interim) yang didakwa berdasarkan kepada gaji permulaan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.

Seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Pantai Timur, berusia 30-an, mendakwa, tangga gaji dan cuti perlu bermula daripada awal susulan permohonan baharu, sedangkan mereka sudah berkhidmat selama bertahun-tahun dengan kementerian.

Oleh itu, dakwanya, langkah yang diambil itu menimbulkan persoalan kenapa doktor yang bakal tamat tempoh kontrak perlu membuat permohonan semula sedangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh terus sambung perkhidmatan mereka.

“Jika kena buat permohonan balik seperti bermula dari kosong. Sedangkan kami, termasuk saya sudah hantar rayuan untuk sambung kontrak daripada April lagi.

“Jadi, Kementerian Kesihatan dan SPA dilihat tidak mahu bayar gaji kami yang sudah meningkat berikutan khidmat bertahun-tahun di kementerian. Maka, bagi kurangkan kos, mereka pilih untuk kami buat permohonan baharu dan dengan itu tangga gaji kami bermula daripada asas semula. Langkah ini dianggap agak tidak adil kepada doktor-doktor yang sudah lama berkhidmat.

“Selain itu, gantian cuti rehat (GCR) kami yang kami kumpul sebelum ini pun sudah tentu akan burn (terhapus) berikutan permohonan baharu. GCR boleh dituntut dan diganti dengan duit, tetapi apabila burn, kita tidak boleh tuntut dan dengan itu Kementerian Kesihatan serta SPA boleh jimat kos,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 422 pegawai perubatan lantikan kontrak yang dijangka melengkapkan tempoh maksimum kontrak tujuh tahun mulai bulan ini hingga November depan.

SPA kelmarin mengeluarkan iklan kekosongan 3,200 jawatan pegawai perubatan Gred UD43 (kontrak interim) dan 8,000 simpanan.

Pengambilan khas itu dilaksanakan melibatkan pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah menamatkan tempoh dan yang telah meletakkan jawatan dengan kementerian serta yang menolak pelantikan tetap boleh membuat permohonan.

Menurut doktor yang enggan dinamakan, walaupun lantikan kontrak interim ini tidak sempurna dari segi tangga gaji dan gred jawatan, namun doktor kontrak tetap menyambut baik langkah diambil oleh Kementerian Kesihatan itu.

Justeru, beliau berharap lebih banyak ruang untuk dibaiki dalam sistem kontrak interim nanti.

Doktor yang sedang berkhidmat di sebuah hospital kerajaan di Pantai Timur itu akan tamat khidmat wajib kontrak empat tahun dan bakal menamatkan kontrak pada akhir bulan ini namun tidak disambung.

Apabila menuntut penjelasan dari kementerian, alasan diberikan adalah beliau sudah ada lesen penuh Majlis Perubatan Malaysia (MMC), bertauliah untuk merawat pesakit dan sudah habis khidmat wajib kontrak tiga tahun, maka sudah boleh ‘kerja dekat luar’.

Dalam pada itu, jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, langkah itu agak merugikan doktor yang sudah lama berkhidmat sebab perlu bermula dengan gaji permulaan.

“Sepatutnya setiap tahun ada kenaikan macam kira-kira RM225, kalau sudah tujuh tahun dah RM1,400 kenaikan. Sekarang kena kena dapat gaji lagi rendah.

“Bukan tidak bersyukur, tetapi patut ada mekanisme yang lebih adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN