Doa kehancuran pemimpin negara guna Qunut Nazilah perlu bertaubat

Doa kehancuran pemimpin negara guna Qunut Nazilah perlu bertaubat

MOHD. Naim Mokhtar dalam sidang akhbar sempena Majlis Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Negeri Zon Utara di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan keterlaluan segelintir pihak menggunakan Qunut Nazilah bagi tujuan mendoakan kehancuran terhadap kepimpinan negara khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai tidak wajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, meskipun berbeza pandangan, umat Islam tidak sepatutnya mendoakan kelaknatan Allah terhadap orang lain.

Sehubungan itu katanya, semua pihak yang terlibat termasuk mereka yang mengaminkan doa berkenaan diminta segera bertaubat dan bermuhasabah diri.

“Agak menyedihkan dan mengecewakan apabila ada video menggunakan bacaan doa Qunut Nazilah untuk menimbulkan kebencian kepada kepimpinan sedia ada.

“Ini bukanlah ajaran Islam. Walaupun berbeza pandangan termasuk dalam hal politik, tidak sepatutnya kita menggunakan media sosial untuk ajak orang ramai mendoakan agar pemimpin khususnya Perdana Menteri dilaknat dan diturunkan musibah oleh Allah,” katanya dalam sidang akhbar sempena program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024 di sini, hari ini.

Program melibatkan negeri-negeri bagi zon utara termasuk Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbezaan pandangan perlulah didasarkan kepada adab, akhlak dan budi pekerti seperti mana diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Nabi Muhammad SAW yang memiliki akhlak tinggi mengajar umatnya supaya sentiasa berkasih sayang dan sekiranya berbeza pandangan dengan orang lain apa lagi jika orang itu seagama dan dalam kalangan pemimpin, biarlah ia dibuat dengan adab yang betul.

“Perkara ini sangat ditekankan dalam agama dan kerap disebut oleh Perdana Menteri. Beliau tidak kisah orang mahu kritik tetapi biarlah kritikan itu membina dan dibuat berdasarkan adab yang baik,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan video yang dimuat naik di TikTok.

“Kita serahkan kepada SKMM untuk lihat kandungan video itu dan menilainya. Sebarang keputusan adalah di bawah bidang kuasa mereka.

“Dalam masa sama, saya mengarahkan Jakim dan semua agensi agama negeri untuk bersama-sama menganjurkan program mengajak masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat di aplikasi TikTok memaparkan tulisan yang mendoakan Allah menimpakan bala serta laknat kepada Anwar, menteri Kabinet serta penyokong-penyokongnya menggunakan muzik latar bacaan Qunut Nazilah yang dilagukan – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×