KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 selepas Akta Audit 1957 [Akta 62] sedia ada tidak dipinda kira-kira 33 tahun sejak tahun 1991.
RUU itu diluluskan setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.
Seramai 20 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyertai perbahasan RUU pindaan terbabit.
M. Kulasegaran ketika penggulungan berkata, pindaan itu penting dalam memperkasakan peranan dan kuasa Jabatan Audit Negara bagi membina kepercayaan awam dalam pentadbiran negara.
“Jabatan ini memainkan peranan penting dalam rangka kerja tadbir urus yang baik dengan memastikan aktiviti dan perbelanjaan kerajaan dijalankan dengan bertanggungjawab dan beretika,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pindaan Akta 62 melibatkan lima prinsip berkaitan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada peruntukan sedia ada.
Ia melibatkan pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk Jaminan Kewangan dan pengauditan melalui pendekatan “Follow The Public Money Audit”, tertakluk kepada Menteri Kewangan atas dasar kepentingan awam.
Selain itu, mewujudkan suatu peruntukan baharu mengenai kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang perlu dan suai manfaat bagi menjalankan peruntukan Akta 62 dan kuasa Ketua Audit Negara untuk membuat syor menangani apa-apa ketakteraturan yang serius yang telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya.
Pindaan itu turut memperluas kuasa Ketua Audit Negara untuk melaksanakan susulan audit terhadap apa-apa syor, ulasan atau pandangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan tindakan yang telah diambil oleh Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Awam atau Badan yang ditentukan. – UTUSAN










