Dewan Negara: Sertai BRICS tidak letak Malaysia dalam keadaan terancam

Dewan Negara: Sertai BRICS tidak letak Malaysia dalam keadaan terancam

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) tidak akan menyebabkan negara berhadapan dengan ancaman dari negara-negara kuasa besar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia kekal mengamalkan prinsip keterbukaan dalam aspek ekonomi iaitu bersedia berdagang dengan mana-mana negara kecuali yang bertentangan perundangan antarabangsa.

Menurut beliau, negara juga merupakan ahli kepada beberapa blok lain seperti Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang antara rakan dagangnya adalah Amerika Syarikat (AS).

Oleh kerana itu, jelasnya, tidak timbul sebarang isu melibatkan ancaman kepada negara sekiranya menyertai BRICS.

“Cuma kita perlu memastikan undang-undang yang kita fokus ini adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa di bawah  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang memintanya menyatakan sama ada akan timbul ancaman dari negara-negara kuasa besar seperti AS sekiranya Malaysia menyertai BRICS.

Sebelum ini, Senator Datuk Noraini Idris meminta Tengku Zafrul menyatakan kewajaran Malaysia untuk menyertai BRICS dan bagaimanakah penyertaan tersebut tidak merencatkan segala perancangan serta hubungan perdagangan global dengan negara-negara pro-AS memandangkan antara falsafah yang diketengahkan oleh BRICS adalah dedollarisation.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan perlu sentiasa meneroka pasaran-pasaran baharu untuk memastikan negara tidak ketinggalan serta mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi global.

Justeru katanya, keputusan penyertaan itu merupakan satu langkah strategik untuk memperluaskan jaringan kerjasama ekonomi terutama dari aspek perdagangan dan pelaburan serta diversifikasi pasaran.

“Negara anggota BRICS juga merupakan antara pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, arang batu, bijih besi, aluminium, bijirin, tembaga, nikel dan emas serta komoditi berharga seperti platinum dan palladium.

“Oleh itu, penyertaan negara dalam BRICS akan membuka akses kepada sumber bahan mentah kritikal tersebut yang amat penting dalam memastikan rantaian bekalan yang mampan,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan akan memastikan keseimbangan pembangunan negara dan hubungan baik dengan semua rakan dagang terutama negara-negara kuasa ekonomi dunia dikekalkan seperti terus mengamalkan dasar luar negara yang bebas, berprinsip dan pragmatik.

“Kerajaan akan menggunakan pendekatan berbilang arah supaya kepentingan negara sentiasa dijunjung. Ini adalah antara sebab utama Malaysia bukan sahaja mempertimbangkan penyertaan dalam BRICS, malah beberapa organisasi lain yang sesuai seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di mana Malaysia boleh memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat antarabangsa.

“Ini terbukti menerusi penglibatan dan peranan aktif negara dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau serta pelbagai hala termasuk ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), PBB, Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN