KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat petang ini sekali lagi gamat berikutan dakwaan terdapat pemimpin DAP yang memohon tanah di Kelantan.
Perkara itu dibangkitkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) ketika penggulungan Rang Undang-undang (RUU) (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Timbalan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M.Kulasegaran di Dewan Rakyat hari ini.
Dakwaan itu muncul selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) menuntut penjelasan Timbalan Menteri berkait aktiviti sebuah badan berkanun di Kelantan yang kini sedang menjalankan aktiviti lombong emas.
Pendang kemudian bangkit dan berkata, pemimpin DAP ada memohon tanah di Kelantan, beratus ekar, jadi yang ini mungkin di luar pengetahuan Jelutong.
Rayer kemudian mencabar Pendang menyatakan nama individu yang terlibat selain beberapa ahli parlimen PH lagi menyifatkan dakwaan itu sebagai satu sangkaan jahat.
Alice kemudian meminta ahli parlimen membuat usul untuk meminta Pendang menjawab isu berkenaan selain memohon Kulasegaran meneruskan penggulungan.
Kulasegaran mengambil peluang untuk menjelaskan bahawa polisi DAP tidak dibenarkan memohon atau mendapat tanah seinici pun.
“Bukan saja saya sebagai ahli, isteri, anak-anak saya pun tidak dibenarkan. Ini prinsip yang sangat dekat di hati kami, mustahil ada pemimpin DAP yang memohon mendapat tanah,” katanya. – UTUSAN











