Cliff Umar didenda miliki, ambil dadah - Utusan Malaysia

Cliff Umar didenda miliki, ambil dadah

Cliff Umar dadah
CLIFF Umar hadir mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan didenda RM5,500 atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selebriti dan juara program realiti TV, Gegar Vaganza Musim Ke-7 (GV7), Cliff Umar didenda RM5,500 di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan memiliki dan mengambil dadah, pada Mei lalu.

Hukuman tersebut dikenakan selepas penyanyi yang nama sebenarnya Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Selain itu, Cliff Umar turut diperintah menjalani hukuman tambahan penjara 13 bulan sekiranya gagal bayar denda.

Bapa kepada empat orang anak itu merupakan bekas vokalis Project Pistol juga dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Clif didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphine seberat 0.9 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya kira-kira pukul 3.30 petang pada 26 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Dia juga dituduh dengan sengaja memberikan diri sendiri dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (thc) di tandas balai polis USJ8, Subang Jaya kira-kira pukul 6 petang pada tarikh sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan perlu menjalani pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Mengikut fakta kes, ketika pihak polis membuat rondaan mendapati mendapati tertuduh menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada hari kejadian.

Bagaimanapun, artis ini bertindak melarikan diri lalu terjatuh ke bahu jalan sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badannya sebelum menyerahkan dadah sendiri ketika diperiksa anggota polis.

Peguam Sallehuddin Salam mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon hukuman denda minima susulan menanggung isteri dan empat anaknya.

“Anak guam saya juga mempunyai masalah kewangan dan tiada pendapatan tetap dengan bergantung sebagai kerjayanya sebagai pemuzik,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon hukuman berbentuk deterrent (pencegahan) ekoran kekerapan kes dan melibatkan kepentingan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN