Cari hikmah di sebalik musibah

Cari hikmah di sebalik musibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA sudah lama mengikuti kisah wanita cekal ini, sejak video mengenai deria penglihatannya diragut lantas menjadi orang kurang upaya (OKU) sekelip mata akibat kemalangan yang penuh tragis.

Perkongsian yang tular hingga meraih 4.7 juta tontonan di aplikasi Tiktok itu menyaksikan dirinya laris bagaikan pisang goreng panas, malah di sana sini orang menjemputnya untuk berkongsi pengalaman.

Kekuatan dan semangat dimiliki menjadikanKetua Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn. Bhd. Masitah Mohd. Affandy kian dikenali di media sosial dan kini merupakan personaliti media sosial dengan lebih 300,000 pengikut di Tiktok.

Serentak itu perniagaan berasaskan penyaman udara yang dibangunkan bersama suami sejak 10 tahun lalu dilihat sama naiknya.

Media sosialnya turut rancak dengan pelbagai promosi, sebagai salah satu strategi pemasaran, sekaligus menjadikan jenama NM Aircond kian dikenali.

“Pada awalnya, tujuan saya berkongsi video itu hanyalah untuk menceritakan perkembangan diri kepada kenalan sahaja.

“Ramai tahu saya kemalangan tetapi mereka tidak tahu keadaan terkini saya yang buta, jadi video itu sekadar untuk makluman.

“Tetapi lain pula jadinya apabila ada seorang wanita bersama anaknya datang ke pejabat saya semata-mata untuk memeluk dan mengucapkan terima kasih kerana video saya memberikan semangat baharu kepada anaknya yang selama ini murung akibat penyakit lupus,” katanya kepada Seri.

OPTIMIS meneruskan kerjaya sebagai usahawan walaupun berstatus OKU penglihatan

Bermula dari detik itu, semakin ramai yang mula mendekati anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini untuk mengucapkan penghargaan.

Situasi dialami Masitah itu, bagaikan meniup semangat baharu dalam diri insan lain, berikutan sikap positif biarpun berdepan ujian berat.

Nyata status dimiliki kini tidak memadamkan semangatnya untuk terus sukses dalam hidup.

Masitah ketika dihubungi baru-baru ini memberitahu yang dirinya baru sahaja selesai pulang dari utara tanah air kerana menghadiri satu kursus untuk pengembangan perniagaan.

Daripada suara yang kedengaran daripada corong telefon, tiada sedikitpun terdengar bunyi kelelahan, malah setiap pertanyaan dilayani dengan penuh mesra dan gelak ketawa.

Tidak keterlaluan jika saya katakan figura ini adalah wanita ‘besi’ yang memiliki kekuatan luar biasa dalam menempuh dugaan hidup.

LINDUNG KESEDIHAN

Dalam tempoh setahun menghadapi kemalangan maut yang meragut daya penglihatannya pada Mac tahun lalu, wanita berusia 33 tahun ini
tidak duduk diam sebaliknya bangkit menjadi versi yang lebih baik dalam kehidupannya.

Malah, keberaniannya tampil bercerita mengenai tragedi menimpa dirinya di media sosial 44 hari selepas kemalangan ngeri itu, menjadikannya salah satu inspirasi kepada ramai wanita lain.

“Tipulah jika tidak langsung merasa sedih dengan nikmat penglihatan yang telah hilang, namun saya berfikir positif menguatkan semangat untuk melihat hikmah di sebalik musibah.

“Ketika suami memaklumkan bahawa saya mungkin tidak dapat melihat lagi saya okay sahaja dan terus memikir ke depan bagaimana untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang buta dan persiapan-persiapan yang perlu dilakukan.

“Sejak dahulu lagi saya memang seorang yang tegas dan sentiasa ada perancangan dalam melakukan sesuatu. Saya kira ujian ini bukan musibah sebaliknya peluang kedua untuk saya memperbaiki diri dan memberikan sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

SUAMI, keluarga dan rakan sekerja adalah kekuatan Masitah.

IMBASAN KERETA PUTIH

Mengimbau tragedi hitam hingga meragut pancainderanya, Masitah berkata pada 21 Mac 2023 kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya bersama seorang pekerja dalam perjalanan pulang ke Johor dari Sabak Bernam, Selangor dirempuh lori 15 tan di Kilometer 193.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah, Selatan.

Kemalangan itu meragut nyawa pekerjanya dengan dirinya cedera teruk di bahagian kepala, muka dan kaki.

Impak kemalangan itu menyebabkan saraf matanya mati selain mengalami retak pada bahagian kepala dan patah bahagian kaki.

Berkongsi kisah pelik yang dialami dua minggu u sebelum kemalangan tragik itu berlaku, kata Masitah ketika dia sedang duduk belajar, tiba-tiba berlaku satu imbasan pada matanya menunjukkan beliau kemalangan dalam kenderaan berwarna putih.

“Saya terkejut sebab imbasan itu datang tiba-tiba. Saya pelik sebab kenderaan yang saya ada ialah merah dan bukan putih.

“Saya cerita kepada kakitangan dan suami mengenai lintasan itu, tetapi mereka nasihatkan saya untuk berfikir yang baik-baik sahaja.

“Begitupun, pada masa sama, saya mengelak menaiki kenderaan warna putih. Pada hari kemalangan itu, saya terlupa mengenai lintasan itu dan kebetulan ketika itu tumpang kereta kakitangan yang berwarna putih,” kongsinya.

Ingatannya masih basah mengingati dengan jelas imbasan itu sehingga kini.

SUAMI KEKUATAN

Perkahwinan yang dibina bersama Nik Nazri Abidin,37, selama 12 tahun kekal teguh sehingga kini.

Malah, sokongan moral dan perhatian tidak berbelahbahagi daripada suami tersayang menjadi sumber kekuatan Masitah menempuh
hari-hari mendatang.

“Kekuatan saya adalah suami, keluarga dan rakan-rakan. Alhamdulillah, suami juga banyak memberikan semangat dan setia menjaga saya sehingga kini.

“Setiap hari saya mencuba membiasakan diri dengan mengira langkah untuk ke sesuatu tempat, contohnya ke bilik air, dapur dan
sebagainya.

“Namun, daripada segi pemilihan baju untuk dipakai, setiap hari suami akan membantu dan pilih kerana saya tidak boleh nampak warna apa hendak dipakai,” katanya sambil tertawa kecil.

Bersama suami tersayang

SAWAN IMPAK PEMBEDAHAN

Mengenai keadaan kesihatannya kini, kata Masitah akibat pembedahan selaput otak dijalankan akibat kemalangan lalu, beliau kini mengalami kesan sampingan iaitu sawan.

Bila kena sawan, Masitah akan pitam, justeru ketika ini beliau perlu makan ubat sawan setiap hari.

“Kaki semakin kuat untuk berjalan. Mata saya masih perlu teruskan rawatan-rawatan seperti terapi dan akupuntur.

“Sekarang ini, walaupun penglihatan saya masih gelap tetapi bila disuluh anak mata ada sedikit pergerakan sedangkan sebelum ini tiada langsung. Tapi, saya belum berkesempatan lagi untuk buat pemeriksaan lanjut dengan pakar,” kongsinya.

LUASKAN EMPAYAR

Di sebalik segala dugaan mendatang, pemenang Ikon Wanita Muda Negeri Johor 2024 ini juga sedang rancak mengorak langkah yang lebih besar dalam dunia perniagaan.

Biarpun kini beliau memerlukan pembantu peribadi untuk melancarkan urusan harian, namun sumbangannya dalam syarikat masih sama
seperti dahulu.

“Saya masih menguruskan perniagaan seperti biasa, malah ketika 24 hari di hospital selepas kemalangan itu, kebanyakan masa saya habiskan dengan bekerja seperti biasa. Cumanya saya tiada di pejabat.

“Ketika ini kami sedang sibuk untuk melancarkan beberapa projek baharu antaranya projek platform digital aircond express.com untuk membantu pengalaman yang lebih baik untuk pengguna dan pembekal penyaman udara dan ada beberapa lagi projek,” katanya teruja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN