Buruh warga Myanmar mengaku salah rasuah inspektor polis - Utusan Malaysia

Buruh warga Myanmar mengaku salah rasuah inspektor polis

MOHAMMAD Shakir Mohammad Zokoria yang mengaku salah merasuah inspektor polis dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh warga Myanmar didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas dia mengaku bersalah merasuah seorang inspektor polis di sini, minggu lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Norashima Khalid terhadap tertuduh, Mohammad Shakir Mohammad Zokoria, 27, hari ini, sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh penterjemah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM250 kepada seorang inspektor bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Suapan itu dibuat sebagai dorongan untuk tidak menangkapnya dibawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai 1946 iaitu tidak mempunyai lesen melakukan aktiviti perniagaan barangan lusuh.

Mohammad Shakir didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Kampung Balai Besar, Alor Tempoyak dalam daerah Dungun kira-kira pukul 3.15 petang pada 15 Julai 2024.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak sampai 10 tahun atau penjara satu perempat dari tempoh paling lama atau denda atau kedua-dua mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (KK).

Mahkamah kemudian mendenda tertuduh RM5,000 dan lima bulan penjara jika gagal bayar.

Wang suapan berjumlah RM250 turut diarahkan untuk dilucuthak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Myanmar ditahan reman selama enam hari selepas disyaki merasuah pegawai polis sebagai balasan tidak menangkapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×