KUALA LUMPUR : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini berhadapan kerumitan untuk memadamkan api pada kenderaan elektrik (EV) berpunca daripada bateri litium yang digunakan.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, setakat ini, tiada lagi agen yang mampu memadamkan kebakaran akibat bateri litium yang lazimnya digunakan pada kenderaan EV.
Beliau berkata, garis panduan berhubung pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) sedang diperhalusi berikutan kerumitan yang dihadapi.
“Sehingga kini, di seluruh dunia belum ada satu lagi pun agen pemadaman yang boleh memadamkan kebakaran bateri litium yang digunakan pada kenderaan EV amnya.
“Kita hanya boleh melemaskan sahaja api (sehingga terpadam) tetapi hendak memadamkan (secara cepat) itu belum ada,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Building Fire Safety: Regulations di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sifat yang ada pada litium itu adalah ignite (menyala) semula walaupun api sudah dipadamkan.
Ujar beliau, JBPM Kuala Lumpur sedang bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengawal selian pemasangan EVCS di ibu negara bagi mengurangkan risiko kebakaran terbabit.
Katanya, ia meliputi pemasangan EVSC bukan sahaja di premis komersial, pejabat malah pemasangan di kediaman peribadi juga akan diselia pihaknya kelak.
“Berikutan fenomena kenderaan EV ini, JBPM dan DBKL perlu mengadakan penelitian kerana permohonan projek melalui DBKL jadi kami (bomba) perlu lihat dengan terperinci.
“Kerajaan juga mengumumkan mahu bina 10,000 EVCS, jadi kita akan buat penguatkuasaan.
“Pemasangan di premis perlu dapatkan kebenaran bomba yang mana mereka perlu hantar dokumen kepada JBPM untuk diteliti,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya akan mencadangkan jenis EVCS sama ada arus elektrik AC atau DC.
“Semuanya ada garis panduan,” katanya. –UTUSAN










