JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat beberapa wakil parti pembangkang yang mahu bertemu dengannya untuk berunding soal kerjasama politik pada masa akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bagaimanapun berkata, hatinya belum terbuka untuk menerima kunjungan mereka.
“Ada delegasi yang mahu bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya, tetapi hati saya tidak terbuka lagi untuk bertemu dengan mereka. Ini kerana saya tidak mahu kejadian sama berulang, jangan dipatuk ular di tempat sama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Muafakat Johor Taman Adda di sini malam tadi.
Sementara itu, Ahmad Zahid menggesa jentera UMNO dan BN untuk melakukan transformasi terhadap cara mereka meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Cara dulu sesuai dengan zaman dulu, cara sekarang perlu sesuai dengan zaman sekarang. Kita perlu jadi pempengaruh, perlu ada kandungan yang baik untuk dekati pengundi. Perkara ini boleh dibuat dengan bantuan sayap Pemuda dan Puteri. Ini tidak mustahil.
“Saya yakin dengan pendekatan ini kita mampu menang lebih 30 kerusi Parlimen danpertahankan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRU akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO mahu memperkasa golongan muda negara ini melalui pembelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, komitmen itu adalah agenda UMNO bagi memastikan golongan muda mendapat pekerjaan berkualiti pada masa depan.
Katanya, bidang TVET adalah pilihan bagi meningkatkan kualiti kehidupan individu, selain daripada pengajian bidang akademik.
“Bidang TVET menawarkan gaji premium selari dengan tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dimiliki mereka. SKM tahap 1 dan 2 menawarkan gaji minimum RM2,500, manakala SKM tahap 3 dan 4 menawarkan gaji lebih RM4,000.
“TVET di Malaysia menawarkan lebih 4,000 kursus. Kadar kebolehpasaran graduan TVET di bawah MARA pula mencecah 98.7 peratus, sekali gus menunjukkan graduan TVET diterima pasaran kerja. Ini adalah agenda UMNO,” katanya. – UTUSAN










