Bekas Mufti Pulau Pinang dipilih Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan

Bekas Mufti Pulau Pinang dipilih Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan

SULTAN Ibrahim berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Tahun 1446H/2024M Kategori Kebangsaan kepada Hassan Ahmad (tiga, kanan) pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Tahun 1446H/2024M di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M.

Pada masa sama, Profesor Asas Perundangan Islam, Universiti Qatar, Prof. Dr. Ali Muh­yiddin Ali Al-Qaradaghi, 75, pula dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Antarabangsa Tahun 1446H/2024M.

Hassan, 82, yang juga anak jati Permatang Sungai Dua, Ke­pala Batas, Seberang Perai, Pu­lau Pinang itu mempunyai Ija­zah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang Fakulti Syariah dan Undang Undang Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri, Kelantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau juga berkelulusan Ija­zah Sarjana Usul Al-Fiqh Fakulti Sya­riah, Universiti Al-Azhar, Me­­sir dan kini berkhidmat sebagai Penasihat Kehormat Pusat Pe­ngajian Darul Hadis, Pulau Pi­nang sejak tahun 2015.

Hassan turut menerbitkan be­berapa buku termasuk Bai’al-Mura­bahah (Produk Kewangan Islam), Kepentingan Mencari Kekayaan Dalam Islam, Ruang Lingkup Ijtihad, Ijtihad dan Kesesuai­an Islam Untuk Semua Keadaan.

Beliau juga adalah penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1433H/2012M dan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1436H/2014M.

Manakala, Dr. Ali Muhyiddin yang berasal dari Qaradagh, Daerah Sulaymaniyah, Wilayah Kur­distan, Iraq pula tidak asing bagi negara ini kerana beliau terbabit selama 40 tahun dalam menasihati sistem perbankan syariah dan ekonomi Islam di Malaysia.

Dr. Ali Muhyiddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Kolej Al-Imam Al-A’zam di Baghdad pada tahun 1975 selain memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang perundangan perbandingan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar pada tahun 1980.

Beliau juga pemegang ijazah kedoktoran dalam Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar dalam bidang kontrak dan transaksi kewangan, pada tahun 1985.

Dr. Ali Muhyiddin ialah seorang ilmuwan dan pemikir Islam berpengaruh dunia dan banyak berkongsi kepakaran dan ilmu di Malaysia. Beliau kini ialah Profesor Asas Perundangan Islam, Universiti Qatar dan Naib Presiden di European Council for Fatwa and Research.

Kedua-dua tokoh menerima hadiah wang tunai, sijil dan trofi yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini