Bekas CEO dipenjara setahun, denda RM100,000 kerana menipu - Utusan Malaysia

Bekas CEO dipenjara setahun, denda RM100,000 kerana menipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) institut automotif dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif bernilai RM6.4 juta dan memperoleh wang tunai RM5 juta pada 2019 dan 2021.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, Datuk Mohamad Madani Sahari, 57, dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 selepas menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu didakwa menipu lembaga pengarah Malaysia Institute, Robotik dan IoT (MARii) dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa harga ditawarkan oleh syarikat LPS Learning Platform adalah RM6.4 juta sedangkan harga sebenar ditawarkan RM2.3 juta.

Rozina turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Perbuatan itu mendorong lembaga pengarah tersebut untuk menyerahkan kontrak bernilai RM6.4 juta kepada syarikat LPS Learning Platform dengan meluluskan cadangan pelantikan syarikat itu sebagai “penyedia latihan bagi wilayah Tengah, Pantai Timur, Selatan serta Sabah & Sarawak pada harga kontrak keseluruhan RM6.4 juta” yang lembaga pengarah berkenaan tidak akan menyerahkan kontrak itu kepada syarikat LPS Learning dengan meluluskan cadangan pelantikan tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik mesyuarat di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral Dua di sini antara 10.50 pagi dan 3.35 petang, 14 Disember 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohamad Madani dipenjara setahun dan melucutkan harta RM3.4 juta selepas menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu sebagai seorang penjawat awam, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif di MARii, telah memperoleh untuk diri sendiri satu benda berharga dengan tiada balasan, iaitu wang tunai RM5 juta daripada seorang lelaki berusia 49 tahun, melalui akaun bank milik sebuah syarikat atas arahan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun.

Tertuduh mengetahui bahawa Syarikat Aspire Knowledge Sdn. Bhd. mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di Cawangan Hong Leong Islamic Bank Berhad di Seksyen 15, Shah Alam pada 8 Julai 2021, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, 41 pertuduhan utama iaitu di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 kanun sama serta Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang dihadapi Mohamad Madani sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Mohd. Asraf Mohd. Tahir, Haresh Prakash Somiah, Nurul Atiqah Mohd Alias dan Noor Syafina Mohd. Radzuan manakala peguam Azizul Shariman dan Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×