Bekal senjata lelaki Israel: Peguam mohon kebenaran ikat jamin - Utusan Malaysia

Bekal senjata lelaki Israel: Peguam mohon kebenaran ikat jamin

Senjata api
ABDUL Azim Mohd. Yasin dan Sharifah Faraha Syed Husin dikawal ketat anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 25 Julai depan bagi pendengaran permohonan ikat jamin ke atas pasangan suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel, Mac lalu.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd. Yasin, 43, membuat hujahan pada tarikh tersebut.

Dalam prosiding tersebut, peguam Mohamad Isa Mohamad Basir yang mewakili Sharifah Faraha berkata, permohonan itu dikemukakan dengan merujuk kes-kes melibatkan Akta Senjata (Penalti Lebih Berat (1971).

Menurutnya, anak guamnya itu sebelum ini tidak pernah ditawarkan jaminan sejak prosiding pendakwaan pada April lalu.

“Selain, kita bersedia untuk dikenakan syarat tambahan bagi menjamin kehadiran anak guam ke mahkamah.

“Justeru, kita berharap mahkamah dapat mempertimbangkan permohonan itu dengan menggunakan kuasa budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya.

Pada prosiding sebutan kes itu, peguam Ethan Tan yang mewakili Abdul Azim turut memohon anak guamnya dibenarkan jaminan.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik membantah sekerasnya permohonan itu dengan mengambil kira keseriusan pertuduhan dihadapi Sharifah Faraha.

Berdasarkan pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, bernombor siri A216210.

Abdul Azim pula didakwa ada bersama isterinya itu yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki berkenaan mengetahui tentang pemilikan senjata api berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, kira-kira pukul 8 malam, 29 Mac lalu.

Pasangan itu masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah itu secara berasingan dengan menaiki kenderaan polis masing-masing pukul 9.20 dan 10 pagi.

Utusan Malaysia melaporkan pasangan yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mereka tidak ditawarkan jaminan oleh pihak pendakwaan kerana kesalahan di bawah akta berkenaan tidak boleh dijamin.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel, Shalom Avitan, 38, yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di dalam beg miliknya.

Siasatan polis mendapati suspek yang memasuki Malaysia menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu didakwa merancang membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN