KUALA SELANGOR: Mahkamah Sesyen di sini, menolak permohonan ikat jamin ke atas pasangan suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel, Mac lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya memutuskan demikian selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd. Yasin, 43.
“Keputusan itu merujuk kepada prinsip Mahkamah Persekutuan dan Tinggi berkaitan dua kes yang melibatkan Akta Senjata Api sebelum ini. Selain itu, tiada sebarang keadaan istimewa dikemukakan bagi permohonan berkenaan. Justeru, mahkamah menolaknya,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dalam hujahannya memaklumkan bahawa kesalahan tertuduh merupakan kesalahan tidak boleh jamin.
“Ia antaranya bagi mengelak tertuduh melakukan kesalahan lebih berat ketika proses perbicaraan kes masih dijalankan dan turut dikhuatiri mengganggu saksi pendakwaan.
“Selain itu, tertuduh tidak menyatakan sebarang alasan atau keadaan istimewa bagi kebenaran permohonan ikat jamin,” jelasnya.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Isa Mohamad Basir yang mewakili Sharifah Faraha membalas, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk membenarkan jaminan itu.
“Jika diberi kebenaran ikat jamin itu, anak guam saya bersedia mematuhi semua syarat-syarat tambahan. Ia termasuk melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” ujarnya.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 29 Ogos depan.
Berdasarkan pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.
Abdul Azim pula didakwa ada bersama isterinya itu yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki berkenaan mengetahui tentang pemilikan senjata api berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, kira-kira pukul 8 malam, 29 Mac lalu.
Pasangan itu masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.
Utusan Malaysia melaporkan pasangan yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Mereka tidak ditawarkan jaminan oleh pihak pendakwaan kerana kesalahan di bawah akta berkenaan tidak boleh dijamin. – UTUSAN










