Bapa durjana rogol anak darjah 5 - Utusan Malaysia

Bapa durjana rogol anak darjah 5

Rogol anak
SEORANG bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol anak kandungnya sendiri, di Kompleks Mahkamah Klang, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya sendiri berusia 11 tahun dekat rumah mereka, pada Jun lalu.

Hakim Noridah Adam bagaimanapun menolak pengakuan bersalah oleh tertuduh berusia 39 tahun itu selepas dia menafikan kebenaran terhadap fakta kes yang dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa.

Pada prosiding tersebut, lelaki tidak diwakili peguam itu menafikan dakwaan dia memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan anaknya dan menyatakan perkara itu tidak benar.

“Terdapat sebahagian daripada fakta kes benar dan sebahagian lagi tidak benar, saya tidak memasukkan kemaluan sendiri ke dalam kemaluan mangsa. Saya tidak mengaku kalau dakwaannya (fakta kes) macam itu,” katanya.

Bagaimanapun, fakta kes tersebut turut menyatakan berdasarkan laporan perubatan, terdapat kesan koyak pada kemaluan mangsa.

Justeru, Hakim Noridah meminta tertuduh mengesahkan sekali lagi fakta kes tersebut dan menyatakan pengakuan salah dan pengesahan kebenaran harus dibuat terhadap keseluruhan fakta kes.

Beliau kemudian mengarahkan pembacaan fakta kes dihentikan selepas tertuduh enggan mengesahkan perkara tersebut.

Hakim memberitahu tertuduh dibicarakan selepas mahkamah menganggap pengakuan salah dibuat bapa terbabit sebagai pengakuan bersyarat dan tidak boleh diterima.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen selain mencadangkan tiada jaminan dibenarkan.

“Mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen dan tiada tawaran jaminan dicadangkan kerana tertuduh adalah bapa kandung mangsa dan masih tinggal serumah. Ia bertujuan bagi melindungi mangsa daripada diganggu,” jelasnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan memutuskan jaminan tidak dibenarkan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang mengenakan baju ‘T’ dan seluar jeans berwarna hitam itu didakwa merogol seorang kanak-kanak yang mana mempunyai perhubungan dengannya (bapa dan anak) selain tidak dibenarkan di bawah undang-undang serta hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.

Kejadian tersebut didakwa dilakukan di dalam sebuah rumah di Bukit Kapar, Kapar kira-kira pukul 3 pagi. Justeru lelaki terbabit dituduh di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, bapa durjana itu boleh dihukum penjara selama lapan hingga 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 kali sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×