SHAH ALAM: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) giat menawarkan program dan insentif bagi membantu usahawan yang ‘gulung tikar’ supaya kembali meneruskan perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, beliau mengakui ramai peniaga yang menutup perniagaan mereka sebelum ini akibat pandemik Covid-19 dan masih tidak mampu menjalankannya atas pelbagai faktor.
“Bukan sahaja peniaga dalam Malaysia sahaja yang tutup perniagaan, tetapi peniaga daripada seluruh dunia juga yang alami masalah yang sama.
“Justeru, KUSKOP menyediakan banyak bantuan (antaranya) geran, bantuan koperasi dan pembiayaan kewangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2023 Parlimen Sungai Buloh di Dewan Bunga Matahari, di sini, hari ini.
Jelasnya, antara bantuan diberikan termasuklah tawaran daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang menawarkan geran padanan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut Ramanan lagi, terdapat koperasi di bawah KUSKOP seperti Koperasi Bank Rakyat (BRKOP) Lestari, BRTani, Pembiayaan Penyambung-i dan pelbagai lagi program ditawarkan.
“Tekun Nasional (TEKUN) pula menawarkan Skim Pembiayaan Teman TEKUN, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan Pembiayaan Permulaan dan Pengembangan Perniagaan.
“TEKUN pada tahun lalu telah membantu lebih 35,000 usahawan untuk mendapat pembiayaan, dengan jumlah keseluruhan pembiayaan yang diberikan berjumlah RM1.1 bilion,” ujarnya. – UTUSAN










