Anwar, Jusuf Kalla sertai WCIT 2024 di Ipoh - Utusan Malaysia

Anwar, Jusuf Kalla sertai WCIT 2024 di Ipoh

WAN Sabri Wan Yusof (tengah) dalam sidang akhbar mengenai Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadualkan berkenan berangkat hadir untuk menyampaikan Titah Utama Diraja serta merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) yang Ke-7 pada hujung bulan ini di sini.

Persidangan yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Julai bertempat di Casuarina Meru itu juga bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nama besar lain yang dijangka hadir dan terlibat dalam sesi persidangan ialah bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selaku penganjur menjangka kehadiran lebih 1,000 orang yang terdiri daripada para ulama, pemimpin, intelektual, professional serta masyarakat dalam dan luar negara.

Naib Canselor USAS, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof berkata, antara sasaran penganjuran adalah untuk mencari penyelesaian serta kaedah yang boleh dipraktikkan dalam menyelesaikan isu-isu semasa termasuklah berkaitan teknologi dan alam sekitar.

Tambahnya, persidangan juga bakal mengetengahkan isu-isu semasa geopolitik antarabangsa termasuklah konflik di Palestin, persaingan Amerika Syarikat-China serta kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).

“Dalam persidangan ini akan ada cadangan-cadangan dan lontaran idea yang boleh kita kutip dan boleh dilaksanakan di Perak dan Malaysia.

“Tokoh-tokoh yang datang ini bukan calang-calang. Akan ada idea baharu dan penyelesaian yang praktikal kepada permasalahan semasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tema persidangan antarabangsa itu ialah Together We Stand: Muslims and Global Humanity dan penganjur juga melihat potensi kehadiran orang ramai mencecah 10,000 menerusi program sampingan yang diadakan seperti karnival pendidikan, gerai makanan serta aktiviti berbentuk keagamaan WCIT2024 Berselawat.

Beberapa nama lain yang akan terlibat ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; serta kartunis tersohor, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat.

Turut serta ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof; dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN