KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan pasangan personaliti media sosial, Alif Teega dan Aisyah Hijanah kekal ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah Azhari, 26, bagi mengetepikan perintah tahanan reman terhadap mereka.
Beliau berpuas hati permohonan itu tiada merit kerana tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) itu dibuat berlandaskan undang-undang.
Sehubungan itu, hakim berkenaan berpendapat perintah tahanan reman adalah sah manakala pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dibenarkan melengkapkan siasatan.
Terdahulu, peguam Abd. Rahim Ali yang mewakili kedua-dua pemohon berhujah anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM iaitu salah guna jawatan atau salah guna kuasa.
Namun beliau menghujahkan, kedua-dua pemohon bukan penjawat awam atau mempunyai kaitan dengan mana-mana badan awam.
“Kedua-duanya hanya pemegang saham dalam syarikat Hijanah Haul Holdings Sdn. Bhd, bukan penjawat awam serta tiada kaitan dengan kesalahan yang disyaki dilakukan.
“Oleh kerana tidak terdapat sebarang kaitan, maka perintah reman yang diberikan Mahkamah Majistret hendaklah diketepikan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib selaku responden ketika berhujah memaklumkan siasatan mengikut Seksyen 23 yang dibuat kepada pemohon-pemohon hanya permulaan siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh SPRM.
Seksyen itu menyentuh kes membabitkan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu bagi melakukan suatu kesalahan.
“Permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut,” katanya.
Pasangan itu memohon mahkamah menyemak perintah Mahkamah Majistret Putrajaya yang membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman SPRM selama empat hari bermula kelmarin hingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyeleweng kutipan derma seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut laporan media, pasangan terlibat sebelum ini tegas menafikan dakwaan bahawa mereka terlibat dalam penyelewengan kutipan derma orang ramai mencecah jutaan ringgit selain mahu mengheret pemfitnah ke mahkamah.
Mereka juga didakwa mengambil komisen daripada kutipan derma dengan peratusan yang tinggi manakala kehidupan mewah dinikmati pasangan berkenaan turut menjadi topik perbincangan. – UTUSAN









