KOTA BHARU: Semua Ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila usul tersebut dibawa ke Dewan Rakyat nanti.
Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr. Muna Hamzan berkata, sokongan itu bagi memastikan RUU tersebut diluluskan oleh Parlimen seterusnya dikuatkuasakan bagi memelihara institusi Raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.
Menurutnya, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.
Jelasnya, pada masa sama ia dilihat selari dengan enakmen undang-undang pentadbiran Islam di negeri-negeri kerajan di Malaysia yang berpaksikan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kami (Persatuan Guru-Guru Pondok) menyambut baik dan menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh Mufti Wilayah Persekutuan ini.
“Langkah ini merupakan satu langkah yang relevan dalam mengekalkan keharmonian, kesejahteraan umat Islam di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muna memberitahu, selain itu seluruh umat Islam di Malaysia perlu menyokong usaha yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan termasuk pihak berkuasa agama negeri-negeri.
Katanya, sebelum ini Ijtimak Guru-Guru Pondok Se-Malaysia pada 2022 di Kandis, Bachok telah meluluskan satu resolusi berkait dengan perkara berkenaan.
“Dari satu sudut, mungkin inilah masanya perkara itu dipantau oleh pihak yang berautoriti seperti Majlis Raja-Raja Melayu.
“Besar harapan kami agar Majlis Raja-Raja Melayu memantau ajaran-ajaran seperti syiah, liberal, wahabi dan sebagainya yang bercanggah dengan Islam sebenar,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 mesti diberi sokongan sepenuhnya oleh semua umat Islam khususnya rakyat Malaysia bagi memelihara institusi raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, RUU Mufti terdapat perkara yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika membentangkan RUU Mufti bersama dua RUU lain berkata, bacaan kali kedua dan ketiga juga dibuat pada persidangan kali ini. – UTUSAN










