KOTA KINABALU: “Adik ke dalam ni..adik ke ni abang, adik ke ni?”.
Hanya itu kata-kata yang mampu diluahkan oleh Faridah Mohd. Maluddin, 52, semasa menyambut ketibaan jenazah anak bongsunya, Mohd. Rais Sarkhanuddin Zainordin, 23, yang meninggal dunia di Korea Selatan pada 14 Julai lalu.
Ibu kepada Allahyarham Mohd. Rais yang berjubah dan tudung serba hitam terpaksa dipapah oleh anak sulungnya, Mohd. Syahzehanuddin kerana masih sukar menerima hakikat bahawa anak bongsunya telah pergi buat selamanya.
Tangisan seorang ibu memecah kesunyian pekarangan Mas Kargo sebaik sahaja jenazah Allahyarham Mohd. Rais dibawa keluar untuk dipindahkan ke van jenazah kira-kira pukul 2 petang.
Dengan berjubah dan tudung serba hitam, Faridah hanya mampu meratapi kepulangan jenazah anak bongsunya yang pergi ke Korea untuk bekerja kira-kira sebulan lalu.
Abang Allahyarham sempat memberi ciuman terakhir di atas keranda adiknya selepas membaca doa semasa ketibaan jenazah.
Mohd. Rais ditemukan meninggal dunia di rumah sewanya di Gumi, Gyeongsang dan berita pemergian Allahyarham diketahui oleh bapa saudaranya Zaidi Mejin, 38, yang turut berada dan bekerja di Korea Selatan.
Sebelum ini, keluarga Allahyarham Mohd. Rais melancarkan kutipan dana melalui laman media sosial untuk membawa pulang jenazahnya ke Sabah. Kos yang diperlukan bagi membayar bil hospital dan juga urusan membawa pulang jenazah kira-kira RM75,000.
Sementara itu, rakan karib Allahyarham, Elvis Lu, 23, berkata, dia agak terkejut apabila dimaklumkan tentang berita pemergian Mohd. Rais.
“Mohd. Rais memang ada memberitahu saya melalui Whatsapp dan panggilan video dia berada di Korea untuk bekerja.
“Kali terakhir kami berhubung, Mohd. Rais bercerita tentang kehidupannya di Korea dan semua yang diceritakan memberi gambaran dia sangat gembira berada di sana. Tiada juga sebarang petanda atau kata-kata yang pelik,” katanya.
Elvis menyifatkan Allahyarham seorang sahabat yang ceria dan suka bergurau senda dengan rakan-rakan sekolah. Namun, dengan orang yang dia tidak rapat, memang Mohd. Rais dilihat sebagai seorang yang pendiam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan berkata, keprihatinan rakyat dalam memberi sumbangan telah membantu meringankan bebanan keluarga untuk membawa pulang jenazah Mohd. Rais dari Korea Selatan.
Pejabat DUN Pintasan turut menyediakan van jenazah bagi menghantar jenazah dari Mas Kargo ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Hikmah Kampung Liang, Kota Belud dan jenazah akan dikebumikan bersebelahan dengan pusara arwah bapanya. – UTUSAN










