PETALING JAYA: Sebanyak 5,648 lokasi titik panas atau kawasan pasti banjir dikenal pasti di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk kawasan-kawasan berkenaan.
Katanya, JPS melakukan persediaan kesiapsiagaan mengurangkan risiko banjir kepada penduduk antaranya dengan mengaktifkan Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN).
Katanya, PRABN beroperasi 24 jam dalam menghasilkan ramalan kejadian banjir tujuh hari ke hadapan dan memberi hebahan seawal dua hari selepas mendapat ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kepada agensi berkaitan untuk dihebahkan kepada orang awam.
“JPS juga membuat penyelarasan bersama pihak berkuasa negeri bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pelepasan air empangan untuk meningkatkan keupayaan takungan banjir empangan semasa Monsun Timur Laut (MTL).
“Sebanyak 737 unit pam bergerak pelbagai kapasiti sedia ditempatkan di semua lokasi hotspot banjir seluruh negara dan operator-operator pam di semua negeri telah dikenal pasti untuk bersedia dipanggil bertugas serta-merta jika perlu.
“Sebanyak 1,342 Stesen Hidrologi Telemetri dipantau untuk mendapatkan data-data hujan dan aras air semasa,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai perancangan jangka masa pendek dan panjang direncana kerajaan terhadap tempat yang dikategorikan sebagai kawasan pasti banjir.
Fadillah berkata, kementerian turut menyediakan pelan induk tebatan banjir mengikut lembangan sungai utama di seluruh Malaysia bertujuan menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.
Katanya, sehingga 2024, sebanyak 49 pelan induk tebatan banjir disiapkan dan tujuh pula sedang dibangunkan, manakala tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan seawal Disember depan.
“Bagi pendekatan struktur, JPS menyiapkan 18 projek tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) melibatkan kos sebanyak RM982.8 juta.
“105 projek pula sedang dalam pembinaan di seluruh negara melibatkan kos keseluruhan RM19.4 bilion,” katanya. – UTUSAN










