50,000 usahawan disasar sertai PLATS pada 2025 - Utusan Malaysia

50,000 usahawan disasar sertai PLATS pada 2025

PLATS
AMIRUDIN Shari meletakkan plakad sebagai simbolik perasmian MAPS 2024 sambil disaksikan Saipolyazan M. Yusop (kiri), di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor menyasarkan penyertaan seramai 50,000 usahawan dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi Platform Selangor (PLATS) pada 2025 dengan bantuan dan geran disediakan lebih RM5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini penyertaan usahawan PLATS sejak ditubuhkan pada 2020 adalah seramai 37,018 orang dan menyasarkan penglibatan seramai 40,000 pada tahun ini.

“Sebahagian besar peruntukan diusahakan oleh Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) dan MBI membantu supaya platform itu kekal, RM5 juta (oleh MBI) setahun sebahagiannya kita bantu beri baucer tunai untuk ahli-ahli PLATS khususnya ketika Ramadan dan musim perayaan.

“Kita juga sediakan geran, hari ini kita akan berikan sumbangan digitalisasi kepada beberapa penjaja terpilih yang kita rasakan sudah bersedia untuk berubah pada platform dalam talian, katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024, malam tadi.

Jelasnya, anugerah tersebut adalah julung-julung kali diadakan sejak penubuhan PLATS bagi mengiktiraf usahawan-usahawan yang berjaya membangun dan mengembangkan perniagaan mereka melalui pelantar tersebut.

“Ia (pada awal) merupakan platform untuk membolehkan orang berniaga, sekarang platform ini tempat untuk mempromosikan gerai, restoran dan juga kemudahan yang mereka ada.

“Senarai PBT yang mempunyai anggota terbesar adalah pertama daripada MBSJ lebih 5,148, MBSA (3,500), MPHS dan MPKj yang ada lebih 3,000 ahli. Selebihnya ada lebih 1,000 ahli,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Saipolyazan M. Yusop memberitahu, MAPS 2024 bermakna untuk peserta PLATS kerana hal ini menunjukkan komitmen MBI dalam membangunkan serta memupuk bakat keusahawanan dalam kalangan rakyat Selangor.

“MAPS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai inspirasi kepada mereka untuk terus maju dalam bidang keusahawanan terutamanya usahawan mikro Selangor pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN