KUALA TERENGGANU: Tiga beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka baru-baru ini, menjadi anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu.
Nur Airisz Izzara Mohd. Azizi 12, dan dua adiknya iaitu Nur Airisz Soffea, 9, dan Nur Airisz Medinna, 6, dipilih menjadi anak angkat Perkeso menerusi Program Prihatin Keluarga Angkat (Protek).
Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, bapa mereka, Mohd. Azizi Zaid, 37, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 11 Januari 2024.
Menurutnya, tidak lama selepas itu, ibu mereka iaitu Rohaida Mohamad, 39, pula meninggal dunia pada 23 Jun lalu disebabkan jangkitan kuman dan kegagalan fungsi organ dalaman.
“Hasil maklumat yang diterima oleh skuad Perkeso Prihatin melalui waris kepada arwah ibu kanak-kanak ini, kita melakukan semakan dan mendapati kematian arwah adalah memenuhi syarat-syarat utama bagi waris untuk menuntut Faedah Pencen Penakat.
“Bagaimanapun, arwah Mohd. Azizi tidak memenuhi syarat utama caruman kerana hasil siasatan yang dijalankan kemalangan tersebut berlaku di luar waktu pekerjaan.
“Perkeso Terengganu terus menjaga kebajikan, pembelajaran dan kelangsungan hidup tiga beradik yatim piatu ini agar mereka dapat menjalani kehidupan yang sama seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil anak angkat Perkeso dan sumbangan barangan keperluan kepada ibu saudara tiga kanak-kanak tersebut, Rozilawati Mohamad di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, di sini, semalam.
Ketika ini, tiga beradik tersebut menetap di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir dan di bawah jagaan nenek mereka, Zaibah Abu, 72, dan Rozilawati.
Farihah berkata, waris telah menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 yang dimasukkan ke akaun bank Zaibah pada 14 Julai lalu.
“Selain itu, ketiga-tiga anak arwah akan menerima Faedah Pencen Penakat berbentuk bayaran pencen bulanan sebanyak RM330 sehingga berumur 21 tahun atau bukan lagi di bawah tanggungan atau melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah yang pertama,” katanya. – UTUSAN










