142,510 bebas muflis

142,510 bebas muflis

ANWAR Ibrahim (tengah) merasmikan Sambutan 100 Tahun Jabatan Insolvensi sambil diperhatikan tetamu-tetamu kenamaan termasuk Azalina Othman Said (tiga dari kiri) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 142,510 individu yang disahkan muflis ‘dilepaskan’ daripada status kebankrapan setakat ini sekali gus memberikan mereka pe­luang meneruskan kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim berkata, langkah di bawah Dasar Peluang Kedua kerajaan berjaya melepasi sasaran pelepasan 130,000 orang diisytiharkan muflis dalam satu tahun.

Katanya, belum ada mana-mana kerajaan sebelum ini mam­pu menyelamatkan se­jum­lah besar keluarga daripada status muflis, tetapi Kerajaan Madani berjaya melakukannya selepas diumumkan pada Belanjawan 2024.

“Kadangkala muflis ini mung­kin kesalahan kecuaian dia atau keadaan ekonomi, terkesan kerana tempoh Co­vid-19 atau sebelumnya dise­bab­kan kelembapan ekonomi yang menjejaskan kedudukan me­reka atau kesilapan peniaga.

“Tetapi tanggungjawab kita untuk merangsang ekonomi dan memberi peluang kedua sebagai langkah awal menjadi Malaysia mampu berdaya saing dan maju dengan ada beberapa langkah proaktif pimpinan kerajaan.

“Sementara mereka boleh bernafas ini, kita ada suntikan Sumbangan Tunai Rahmah kepada sembilan juta rakyat berjumlah RM10 bilion setahun yang boleh memberikan nafas sementara mereka jalankan perniagaan dan kegiatan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan 100 Tahun Jabatan Insolvensi, di sini semalam.

Anwar berkata, keupayaan kerajaan meminda undang-undang memberi ruang kepada jabatan itu untuk meneliti semula dasar dan disusuli tindakan lebih cekap dalam kala­ngan penjawat awam sekali gus membolehkan lebih 140,000 keluarga meneruskan kehidupan lebih bermakna.

Perdana Menteri berkata, program susulan perlu dilaksanakan supaya mereka tidak mengulangi kesilapan lalu dan memahami peluang disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi bantuan pinjaman kerajaan.

“Kita adakan peluang kedua ini. Jabatan berkaitan harus memberikan dan mengenal pasti rangkaian jabatan yang ada peluang dari semasa ke semasa seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan pelbagai jabatan lain yang ada kemudahan (pinjaman).

“Akta Insolvensi itu diluluskan hanya prakarasa perundangan yang memberikan kesempatan saudara untuk meneruskan tugas ini dan pe­ngurusan pelaksanaan itu harus ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pemerbadanan Jabatan Insolvensi selaras konsep ‘amalan terbaik global’ melalui perbandingan dengan negara lain dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kajian itu turut mengambil kira pandangan pakar insolvensi rentas sempadan selain pakar dalam dan luar negara serta pandangan rakyat.

“Secara tidak langsung, usaha ini dapat menggalakkan pengaliran wang dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menarik pelaburan kewangan dan perdagangan antarabangsa ke Malaysia,” katanya.

Azalina berkata, agenda Dasar Peluang Kedua yang diumumkan itu diperluas kepada golongan muflis untuk memberikan peluang mereka kembali menyumbang kepada ekonomi dan menjalani kehidupan baharu.

“Ia menyasarkan pelepasan seramai 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap hingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuat kuasa.

“Komitmen kerajaan dalam roll-out ini adalah bagi memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pemba­ngunan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN