PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan dua sindiket pelacuran dengan penahanan 117 individu dalam operasi di tujuh lokasi di Selangor dan Negeri sembilan pada Rabu dan Khamis lalu.
Dalam kedua-dua serbuan iaitu di Seremban dan Seri Kembangan seramai 82 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan dua minggu, 10 lelaki tempatan disyaki sebagai penjaga premis berusia antara 27 hingga 63 tahun ditahan.
“Kita turut menahan 48 wanita Vietnam, 34 wanita Indonesia dan tiga wanita Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, baki yang lain turut ditahan membabitkan 18 lelaki Bangladesh, tiga lelaki Vietnam dan seorang lelaki Nepal.
Kata beliau, selepas pemeriksaan mendapati, sembilan wanita Vietnam, tujuh wanita Indonesia, dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Nepal memiliki Pas yang masih sah laku.
“Seramai 14 wanita Vietnam, lima wanita Indonesia dan tiga lelaki warga Bangladesh didapati tinggal lebih masa, manakala baki warga asing lain tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” kata beliau.
Ruslin berkata, semasa serbuan, wanita warga asing kebanyakannya bersembunyi di bilik rahsia dan terdapat pelanggan warga asing serta warga tempatan cuba melakukan provokasi.
“Kita turut merampas satu unit telefon bimbit, satu unit tablet, 41 pasport dan wang tunai semuanya sebanyak RM7,055.
“Modus operandi dua sindiket adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan seks kepada warga tempatan dan warga asing,” jelasnya.
Kata beliau, pelanggan boleh memilih wanita berkenaan berdasarkan katalog kemudian membayar secara tunai atau dalam talian sebanyak RM400 hingga RM900 kepada penjaga premis.- UTUSAN










