10 peniaga rugi kanopi gerai diterbangkan ribut

10 peniaga rugi kanopi gerai diterbangkan ribut

SEBAHAGIAN daripada kanopi gerai yang rosak dalam kejadian ribut di Pantai Pulau Kekabu, Marang, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Lebih 10 penjaja kecil di sekitar kawasan pantai Pulau Kekabu di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas kanopi gerai mereka diterbangkan ribut dalam kejadian petang pukul 4 petang semalam yang dianggap sebagai terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Mohamad Hanif Jaafar, 36, berkata, sebagai peniaga di kawasan tepi pantai, mereka sudah lali dengan angin kuat dan hujan lebat namun ribut yang berlaku semalam adalah di luar jangkaan.

Menurutnya, beberapa minit sebelum kejadian, memang hujan turun agak lebat, namun keadaan kembali reda dan cerah seperti biasa.

“Selepas itu, urus niaga di gerai jualan makanan dan minuman sekitar kawasan ini berjalan seperti biasa sebab hujan dah berhenti dan langit kembali cerah.

“Tiba-tiba, sekelip mata, langit bertukar gelap disusuli ribut dengan angin yang terlalu kuat menerbangkan kanopi jualan, menumbangkan beberapa batang pokok dan menyebabkan beberapa peniaga terpelanting ke cerun di belakang gerai.

“Memang sangat luar biasa kerana tiupan angin terlalu kuat, mata pun tak boleh buka sebab angin tu penuh dengan pasir,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Bencana itu menyebabkan peniaga mengalami kerugian antara RM2,800 hingga RM3,000 seorang disebabkan kerosakan khemah dan barangan jualan.

Seorang lagi peniaga, Norimah Mohamad Daud, 54 berkata, kejadian itu sangat menakutkan walaupun berlaku hanya dalam tempoh 15 minit.

“Banyak pokok ru yang tumbang dan saya pun cedera sedikit di bahagian kaki kerana terkena pelepah kelapa yang jatuh dibadai ribut,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Radzuan Tawang, 40, pula berkata, mereka kini buntu hendak memulakan kembali perniagaan kerana semua khemah dan peralatan jualan telah rosak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN