PETALING JAYA: Seramai 10 lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes ugutan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki dalam kejadian di rumah kongsi di Taman Ehsan, Kepong, Rabu lalu.
Satu video berdurasi lapan minit 36 saat, membabitkan perselisihan faham antara seorang warga tempatan dengan lelaki warga asing di lokasi kejadian, tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun berkaitan perselisihan faham hingga menyebabkan ugutan dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki asing berusia 37 tahun.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada 5 petang, Rabu lalu membabitkan mangsa yang tinggal bersama warga asing lain di rumah kongsi terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham berkaitan tunggakan bayaran rumah kongsi sehingga mangsa diugut dan dipukul di bahagian dada.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit di bahagian dada dan mendapatkan rawatan di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Noor Ariffin berkata, pihaknya menahan 10 lelaki warga asing berusia 19 hingga 46 tahun kira-kira 3 petang kelmarin bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Ahad. Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohammad Syafiq Nordin di talian 010-3861622 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222.- UTUSAN










