Wanita OKU mental dicederakan ibu kandung dengan parang - Utusan Malaysia

Wanita OKU mental dicederakan ibu kandung dengan parang

KEADAAN kecederaan yang dialami wanita OKU mental selepas dipercayai dicederakan ibunya dengan sebilah parang di Felda Kerteh, Dungun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) kategori masalah mental cedera di dada dan leher selepas dicederakan ibu kandungnya dengan sebilah parang ketika sedang tidur di Felda Kerteh, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, mangsa yang berusia 46 tahun terpaksa menerima lima jahitan ekoran luka di dada sebelah kanan sepanjang lapan sentimeter, selain turut mengalami luka di leher.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, suspek dan mangsa hanya tinggal bertiga di rumah itu bersama seorang lagi anak lelaki suspek yang berusia 33 tahun.

“Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan anak keempat daripada 10 adik beradik itu dikatakan sedang tidur di biliknya manakala suspek berbaring di ruang tamu.

“Kejadian itu hanya disedari anak lelaki suspek selepas terdengar jeritan kakaknya di bilik tidur dan bergegas mendapatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Maizura berkata, anak lelaki suspek terkejut melihat ibunya sedang memegang sebilah parang dan bertindak merampas parang tersebut dan mendapati kakaknya berlumuran darah.

Maizura berkata, lelaki itu kemudiannya menghubungi pihak polis dan pasukan penyelamat untuk bantuan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengalami kemurungan dan tidak cukup tidur sejak kematian suami pada April lalu berikutan anaknya sering mengalami gangguan mental dan berhalusinasi sendirian.

“Soal siasat awal mendapati suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau itu tidak mengingati apa yang berlaku dan hanya tersedar selepas parang di tangannya dirampas dan parang pendek itu adalah parang yang sering digunakan untuk kerja-kerja harian.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Dungun manakala ibu mangsa telah dihantar ke Unit Psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Maizura berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN