KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mencari ‘duri dalam daging’ yang membantu kumpulan Sulu melakukan tuntutan terhadap negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, terdapat pihak yang menjadi dalang dan penderhaka dengan menjadi pemberi maklumat kepada tuntutan Sulu.
“Tuntutan daripada orang luar itu kita tidak tahu selepas ini siapa lagi yang akan buat sebab ramai yang mengaku keluarga dan adik beradik (kepada kumpulan Sulu), tetapi kita akan membela.
“Cuma yang sedang dalam proses yang tak dapat saya beri strategi sebenar adalah kita tahu adanya dalang dan penderhaka dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong dan membantu dalam tuntutan mereka.
“Inilah sebenarnya yang akan kita lakukan dan cari mereka sebab kita dapat berita bahawa mereka inilah yang sebenarnya menjadi penggerak dan yang memberikan maklumat,” katanya ketika sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung langkah konkrit kerajaan untuk memuktamadkan kes tuntutan kumpulan Sulu.
Dalam pada itu, Azalina enggan menamakan dalang yang sudah dikenal pasti ketika diminta.
“Kalau kita sebut dalam dewan, tiba-tiba petualang lari macam mana Yang Berhormat? Jadi Yang Berhormat Semporna kena sabar kerana proses undang-undang juga tidak sempurna,” katanya.
“Saya secara prinsip bersetuju, sepatutnya ada noktah kepada perkara ini, kerana tuntutan ini tidak akan berhenti. Tapi disebabkan mereka menyaman, kita membela, maka kita perlu menunggu sehingga hak untuk merayu.
“Saya pun mempunyai kekecewaan yang sama, lepas ini apa lagi… banyak orang boleh menuntut, itu sebabnya kita kena betul-betul menentukan bahawa apa pun strategi mesti dilakukan,” katanya. – UTUSAN










